Khamis, 11 Oktober 2018 | 10:11pm
MUHAMAD Solihin menjaga anaknya, Nur Tasnim, 9, (tengah) dan Muhammad Mush’ab Umair, 8, (kanan) yang diberikan rawatan di Wad Pediatrik HUKM, Kuala Lumpur. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Sekeluarga 'pengsan' akibat laksa kebok

KUALA LUMPUR: “Bukan sahaja muntah dan cirit-birit, kami sekeluarga ‘pengsan’ dan hanya terbaring lemah di dalam rumah hinggakan ingin memegang telefon bimbit juga tidak berdaya,” kata Muhamad Solihin Zakaria, 36.

Muhamad Solihin dan isteri, Shukriah Ahmad, 36, serta empat orang anaknya dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras akibat keracunan makanan selepas memakan laksa kebok yang dibeli bapanya di Baling, Kedah.

Katanya, bapa dan ibunya juga mengalami simptom sama namun hanya dirawat sebagai pesakit luar, malah 15 orang tetamu mereka turut disahkan keracunan makanan.

Menceritakan kejadian itu, katanya, Jumaat lalu, dia dan isteri mengadakan jamuan ringan dengan menjemput guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tun Hussien Onn 2, tempat isterinya mengajar dengan menghidangkan nasi gulai riyas pisang, laksa kebok dan tapai.

“Awal pagi Sabtu kira-kira jam 2 pagi, dua orang anak saya yang berusia lapan dan sembilan tahun mengadu sakit perut dan muntah sebelum badan mereka mula panas.

“Kemudian bayi saya dan anak berusia tiga tahun pula demam panas dan suhu badan meningkat mendadak sehingga 40 darjah Celsius dan asyik menangis,” katanya ketika ditemui di HCTM di sini.

Katanya, dia hanya membasahkan kepala anaknya dengan air sejuk bagi menurunkan suhu badan sebelum menghubungi sepupu untuk menghantar mereka sekeluarga ke hospital.

“Doktor mengesahkan kami keracunan makanan dan perlu ditahan di wad bagi rawatan lanjut.

“Rupanya, bukan kami sekeluarga sahaja, rakan isteri yang datang dan makan laksa turut menghadapi masalah sama menjadikan 21 orang yang keracunan makanan.

“Ada yang menerima rawatan sebagai pesakit luar dan sebahagian lagi dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, dia tidak menyangka laksa kebok yang menjadi makanan kegemarannya sejak di bangku sekolah lagi menyebabkan mereka sekeluarga bermalam di hospital.

Katanya, dua orang anaknya belum dibenarkan pulang kerana masih mengalami cirit birit, manakala Muhamad Solihin, isteri dan dua lagi anaknya sudah dibenarkan pulang pada Isnin.

“Sebelum ini tidak pernah ada masalah seperti ini malah laksa berkenaan sangat terkenal dalam kalangan penduduk kampung yang sering menjadikan laksa sebagai menu utama bagi pelbagai majlis dan kenduri.

“Saya juga sangat mengenali pemilik gerai berkenaan dan ada menghubunginya memberitahu mengenai kejadian ini,” katanya yang berasal dari Kampung Sadik, Baling, Kedah.

Kementerian Kesihatan mengesahkan pertambahan 42 kes keracunan makanan disyaki berpunca daripada laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang, Baling, Kedah

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 14 daripada kes terbabit dilaporkan di Kedah, tujuh di Perak dan 21 kes di Selangor menjadikan jumlah kes 61 kes.

Beliau berkata, pihaknya masih menunggu keputusan sampel makanan yang dihantar ke makmal untuk dianalisis. Selain itu, sampel najis dua kes di Baling adalah positif ‘Salmonella spp’.

3901 dibaca
Berita Harian X