Khamis, 11 Oktober 2018 | 8:36pm
DATUK Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (kiri) disambut oleh Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg ketika kunjungan hormat di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. - Foto NADIM BOKHARI

Sabah, Sarawak 'senada' dalam perjuangan MA63

PETRA JAYA: Sabah dan Sarawak sepakat berhubung cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan segala hak dan keistimewaan kedua-dua wilayah itu yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata beliau berkongsi pendirian sama dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg bahawa sudah tiba masa perjanjian itu diteliti semula.

Katanya, ia sekali gus menamatkan isu berkaitan hak dan keistimewaan kedua-dua wilayah yang terhakis sejak sekian lama.

“Kepentingan Sabah dan Sarawak adalah sama, malah kita perlu senada dalam memperjuangkan hak dan keistimewaan dijanjikan kepada generasi pemimpin kita terdahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Abang Johari di pejabatnya di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, petang tadi.

Hadir sama ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Tan Sri James Jemut Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Bagaimanapun, Mohd Shafie menegaskan usaha digerakkan itu bukan bermaksud kedua-dua wilayah tidak ‘menyayangi’ Malaysia, sebaliknya sekadar mahu menuntut ke atas segala hak dan keistimewaan dijanjikan, 55 tahun lalu.

Ia termasuk menuntut kembali 20 peratus royalti petroleum, yang sememangnya berperanan penting untuk memperkasakan pembangunan kedua-dua wilayah dan mampu memberi impak positif kepada rakyat bagi tempoh jangka panjang.

“Kita tidak kisah berkongsi kekayaan sumber (minyak dan gas) dimiliki. Sebab itulah kita tidak minta royalti 100 peratus,” katanya.

Katanya, perjalanan proses perundingan itu berlangsung dalam suasana harmoni seperti proses pembentukan Malaysia yang bersandarkan prinsip kesepakatan di antara Malaya, Sabah dan Sarawak.

“Maka, marilah kita sama-sama mengembalikan hak dan keistimewaan kita bersandarkan prinsip sama. Kita akan terus berunding kerana ada permintaan dari Sabah dan Sarawak, kita cari jalan terbaik untuk memenuhi tuntutan itu ” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata, kepemimpinan Sarawak akan bekerjasama rapat dengan Sabah bagi memastikan kepentingan kedua-dua wilayah sentiasa dilindungi.

Pada masa sama, katanya, kedua-dua wilayah juga akan bekerjasama dalam memperkasakan industri pelancongan dan sektor perdagangan berkaitan.

“Antara kerjasama berpotensi ialah sektor pembekalan tenaga ke Sabah, khusus bagi membantu pertumbuhan industri mereka. Kita boleh jual elektrik kita kepada mereka, dengan pelbagai kelebihan sumber hidro (empangan hidroelektrik) dimiliki di Sarawak.

“Kerjasama ini akan kita perincikan, diikuti perbincangan susulan selepas ini,” katanya.

479 dibaca
Berita Harian X