Khamis, 11 Oktober 2018 | 5:28pm
SHAHANIZA (kanan) melawat bayi lelaki yang diberikan nama Muhammad Rizqy Sofiy, di NICU HoSHAS, Temerloh. - NSTP/Nazirul Roselan

Bayi Hentian Lanchang diberi nama Muhammad Rizqy Sofiy

TEMERLOH: Bayi lelaki yang ditemui di Hentian Lanchang, Lebuhraya Pantai Timur kelmarin diberi nama Muhammad Rizqy Sofiy.

Nama berkenaan diberikan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin, ketika melawat bayi malang itu di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), di sini, hari ini.

Beliau diiringi Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Temerloh, Zulkhairi Zainol Abidin.

Ketika ditanya pemilihan nama berkenaan, Shahaniza berkata ia membawa maksud rezeki kerana bayi itu dijumpai dalam keadaan selamat.

“Setakat ini, Muhammad Rizqy berada dalam pemantauan pihak hospital dan saya bersyukur kerana dia sihat.

“Keadaan bayi seberat 2.7 kilogram ini akan terus dipantau sehingga pihak hospital benar-benar berpuas hati dengan tahap kesihatannya,” katanya kepada media selepas lawatan itu.

Muhammad Rizqy Sofiy ditemui dalam keadaan bogel di dalam tandas wanita di Hentian Lanchang, menghala ke Kuala Lumpur, oleh orang awam pada kira-kira jam 5 pagi.

Zulkhairi berkata, Muhammad Rizqy akan terus ditempatkan di HoSHAS sehingga pihak hospital berpuas hati dengan tahap kesihatannya.

“Apabila bayi itu dibenarkan keluar dari hospital, JKM akan mendapatkan perintah sementara daripada mahkamah untuk ditempatkan rumah kanak-kanak di bawa seliaan JKM“, katanya.

628 dibaca
Berita Harian X