Khamis, 17 Mei 2018 | 6:29pm
AHLI Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat, Johari Bulat (dua dari kanan) mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai di pekarangan Hotel Adya. - Foto Hamzah Osman

30 minit habis agih 600 bungkus bubur lambuk

LANGKAWI: Enam ratus bungkus bubur lambuk diedarkan percuma setiap hari sepanjang Ramadan oleh hotel milik kerajaan negeri, Hotel Adya Langkawi (HAL) di sini.

Pengurus Besar HAL, Razmi Rahmat, berkata acara tahunan memasuki edisi keempat itu sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) terhadap masyarakat setempat.

Katanya, bubur lambuk disediakan tukang masak berpengalaman menggunakan tiga kawah di perkarangan hotel terbabit.

"Kita memasak tiga kawah bubur lambuk dengan purata 600 bungkus sehari, tapi atas permintaan ramai jumlah itu dijangka meningkat kepada 1,000 bungkus dan diedarkan mulai jam 4 petang.

"Biasanya dalam masa 30 minit bubur habis diagihkan kepada orang ramai termasuk pelancong asing," katanya ketika ditemui selepas mengedarkan bubur terbabit di perkarangan hotel itu di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihak pengurusan dan kakitangan hotel amat terharu dengan sambutan orang ramai yang datang dan sanggup beratur untuk mengambil bubur lambuk yang diedarkan setiap hari.

"Kami prihatin dengan mutu hidangan kerana bubur lambuk yang disediakan memang menjadi bualan masyarakat sejak mula diedarkan secara percuma tiga tahun lalu.

"Ini cara untuk menyatakan rasa terima kasih kami terhadap orang ramai yang sentiasa memberi sokongan kepada hotel ini yang mengamalkan patuh syariah sepenuhnya," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Johari Bulat dan ADUN Kuah, Mohd Firdaus Ahmad turut mengedarkan bubur lambuk terbabit kepada orang ramai.

Tamat

504 dibaca
Berita Harian X