Selasa, 24 April 2018 | 3:11pm
MOHAMAD Hasan melakukan gimik perasmian Pembukaan Persimpangan Bertingkat Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) di Jalan Temiang, hari ini. Sambil disaksikan Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Nilai dan Perbandaran Seremban, Datuk Abd Halim Abd Latif (lima dari kanan). - Foto Adzlan Sidek.
PEMBUKAAN persimpangan bertingkat Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) - Jalan Temiang. - Foto Adzlan Sidek
MOHAMAD Hasan bergambar bersama tetamu yang hadir selepas menyempurnakan perasmian Pembukaan Persimpangan Bertingkat Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) - Jalan Temiang. - Foto Adzlan Sidek
PEMBUKAAN persimpangan bertingkat Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) - Jalan Temiang. - Foto Adzlan Sidek

Persimpangan bertingkat jimat masa

SEREMBAN: Pembukaan persimpangan bertingkat Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) - Jalan Temiang di sini, menjimatkan masa penduduk di sekitar Temiang.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata sejak beberapa tahun lalu penduduk di sekitar Temiang terpaksa mengambil masa hampir sejam untuk keluar dari kawasan itu walaupun jarak dekat.

Katanya, ini kerana selain terdapat banyak lampu isyarat, kawasan itu juga hanya mempunyai satu sahaja jalan utama untuk penduduk keluar dan masuk.

"Pada 2012 saya membuat permohonan untuk membuat jalan lain di kawasan itu bagi memudahkan penduduk dan kemudian mendapat kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan pada 2013.

"Ketika itu belum ada lagi LEKAS tetapi selepas lebuh raya itu ada, kita cadangkan bina persimpangan bertingkat. Kerja pembinaan hanya bermula pada 2015 kerana timbul masalah pengambilan tanah.

"Mulai esok persimpangan yang dihubungkan dengan LEKAS ini dapat digunakan sepenuhnya oleh 100,000 penduduk di kawasan Temiang untuk ke Nilai, Senawang, Kuala Pilah atau Kuala Lumpur," katanya selepas merasmikan Pembukaan Persimpangan Bertingkat LEKAS - Jalan Teming di sini, hari ini.

Mohamad berkata, Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di Jabatan Perdana Menteri membiayai pembinaan kos persimpangan itu sebanyak RM48 juta, manakala pemaju iaitu Lapangan Kota Sdn Bhd sebanyak RM7 juta.

"Bagaimanapun ketika ini pemaju sedang menyiapkan laluan sejauh 10 kilometer dari persimpangan sama bagi memudahkan penduduk untuk ke Jalan Pantai dan Jelebu pula yang dijangka siap dua tahun lagi," katanya.

560 dibaca
Berita Harian X