;
Isnin, 23 April 2018 | 7:47pm
KETUA Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayan, Datuk Rashidi Hasbullah. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Sungai gamit pelancong

MUAR: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan mengenal pasti potensi sungai di negara ini untuk dibangunkan sebagai kawasan tarikan pelancongan terbaharu.

Ketua Setiausahanya, Datuk Rashidi Hasbullah, berkata Sungai Muar adalah antara potensi pelancongan yang boleh dibangunkan untuk menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.

Katanya, Sungai Muar unik dan boleh dijadikan satu tarikan kepada bandar ini, dengan mengadakan pelbagai program seperti pesta air dan perkhidmatan menelusuri sungai.

"Jika ada sejarah yang boleh dikaitkan dengan Sungai Muar seperti laluan Denai Penarikan atau tempat Parameswara mendarat, kita boleh lakukannya.

"Sejarah juga boleh diangkat sebagai satu produk pelancongan dan kalau ada kaitan dengan sungai ini, lagi banyak penceritaan boleh kita buat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penghargaan Pelancongan Muar dan Taklimat Kempen Melawat Malaysia 2020 di Dewan Bangunan UMNO Bahagian Muar di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kanan Logistik dan Acara Tourism Malaysia merangkap Ketua Sekretariat Tahun Melawat Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar dan Pegawai Daerah Muar, On Jabbar.

Rashidi berkata, pihaknya bercadang menjadikan lebih banyak sungai sebagai tarikan pelancong selepas kejayaan menjadikan Sungai Melaka sebagai satu produk pelancongan.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian juga sentiasa menyokong usaha memperkasakan sektor pelancongan dengan menyediakan pelbagai insentif bagi membantu penggiat industri pelancongan.

Katanya, antara insentif berkenaan ialah tabung pelancongan khas dan pengecualian cukai, selain diskaun terhadap semua kompaun atas kesalahan mengikut Akta Industri Pelancongan 1992.

236 dibaca
Berita Harian X