Isnin, 23 April 2018 | 7:02pm
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (dua kiri) melihat replika perumahan Taman Desa Perwira Negara Malim Nawar selepas melancarkannya, turut sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembanguan Pertanian Negeri Perak (PPPNP), Datuk Ahmad Rizal Abdul Rahman (tiga kiri) pada Majlis Bersama Menteri Besar Perak di Arena Rakyat Tualang Sekah, Kampar. - Foto Abdullah Yusof

Harga rumah kos rendah di Perak dikawal selia

KAMPAR: Harga rumah dibangunkan anak syarikat kerajaan Perak akan terus dikawal selia bagi memastikan ia mampu dimiliki dan membantu rakyat mempunyai kediaman sendiri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata keadaan itu adalah faktor mendorong harga rumah kos rendah di Perak antara yang terendah dalam negara bagi manfaat golongan sasar.

"Kita tawarkan harga paling rumah bagi rumah kos rendah di negeri dengan mengawal selia harganya.

"Kerajaan negeri mewujudkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bagi membina rumah harga murah untuk rakyat," katanya berucap pada Majlis Bersama Menteri Besar Daerah Kinta dan Kampar di Arena Rakyat Tualang Sekah di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Zambry turut melancarkan Perumahan Belia Amanjaya dan menyerahkan Notis 5A dan Surat Tawaran Peserta Rancangan Pertanian Berkelompok (RPB) dan Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Daerah Kampar/Kinta.

Seramai 620 penerima menerima Surat Tawaran RPB dan RPT masing-masing pada majlis itu.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

Zambry berkata, kerajaan membelanjakan RM170,000 bagi menyiapkan setiap unit rumah kos rendah melalui Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan menjualnya pada harga RM35,000 seunit dengan subsidi RM135,000.

Katanya, kerajaan negeri turut melaksanakan Skim Rumah Insan Amanjaya (SRIA) yang masing-masing dijual pada harga RM70,000, RM120,000 dan RM140,000 seunit.

Sementara itu, Nolee Ashilin berkata, Skim Perumahan Belia Amanjaya akan mula dilaksanakan tahun ini di tanah milik LPHNP membabitkan kawasan seluas 12 hektar yang menawarkan 290 kediaman bernilai antara RM70,000 hingga RM170,000.

Beliau berkata, perumahan berkenaan akan dibuka jualannya kepada semua belia di negeri ini yang belum memiliki kediaman sendiri dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

689 dibaca
Berita Harian X