Ahad, 22 April 2018 | 8:32pm
KETUA Menteri, Tan Sri Musa Aman. - Foto Khairull Azry Bidin

Shafie gagal ketika jadi menteri Persekutuan - Musa Aman

SANDAKAN: Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal agak ironik apabila bercakap memperjuangkan kepentingan rakyat sedangkan beliau gagal berbuat demikian ketika menjadi Menteri peringkat Persekutuan.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata Mohd Shafie yang kini menjadi boneka oleh pakatan pembangkang yang diketuai Tun Mahathir Mohamad, juga dilihat sebagai munafik apabila tiba-tiba menimbulkan isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Dia kini bekerja dengan Mahathir, orang yang gagal selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri dengan tidak mengiktiraf kepentingan Hari Malaysia apa lagi bercakap soal MA63," katanya selepas melawat pusat daerah mengundi Batu Putih di sini, hari ini.

Musa berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas mengambil alih jawatan itu telah memberi pengiktirafan kepada Hari Malaysia yang disambut pada setiap 16 September sebagai cuti umum.

"Selain itu, Perdana Menteri juga mengesa mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kehadiran besar pendatang asing di Sabah.

"Sekarang Shafie mahu isu MA63 diselesaikan dalam masa yang singkat. Dia sebenarnya hanya mahu menipu rakyat untuk mengejar impiannya dalam politik," katanya.

Sementara itu, di kediaman rasminya Sri Gaya di Kota Kinabalu, tiga parti Kadazandusun Murut (KDM) iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berikrar untuk bekerja bersama-sama demi manfaat rakyat Sabah.

Musa menerima laporan rasmi mengenai pembentukan Majlis Presiden daripada ketiga-tiga Presiden parti iaitu Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, pemangku Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Wilfred Tangau dan Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup pada pertemuan itu.

Ketiga-tiga parti itu membentuk sebuah Majlis Presiden untuk memperkuat perpaduan, pemahaman dan kerjasama mengenai masalah politik demi kepentingan masyarakat pribumi di negara ini.

Ketiga-tiga Presiden parti iaitu Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, pemangku Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Wilfred Tangau dan Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup telah bertemu dan menyerahkan laporan rasmi mengenai pembentukan Majlis Presiden itu kepada Musa.

3487 dibaca
Berita Harian X