;
Ahad, 22 April 2018 | 4:50pm
NAIB Presiden PEKIDA Kebangsaan, Datuk Ngah Ismail. - Foto Farizul Hafiz Awang

PEKIDA tiada sebab ubah kerajaan

KUANTAN: Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) mengiktiraf kepemimpinan kerajaan yang memartabatkan syariat Islam dan memperjuangkan bangsa Melayu.

Naib Presiden PEKIDA Kebangsaan, Datuk Ngah Ismail, berkata pertubuhan itu turut menyokong penuh kerajaan yang memartabatkan institusi beraja selain tidak melakukan kemungkaran yang ditegah agama.

Katanya, tiada sebab PEKIDA mahu mengubah kepemimpinan sedia ada yang memiliki ciri-ciri selaras matlamat perjuangan pertubuhan berusia 35 tahun itu.

"Pemerintah yang ada sekarang berlandaskan syariah Islam dan al-Quran. Selagi mereka (kerajaan) tidak menyuruh melakukan kemungkaran, kita akan sokong," katanya kepada NSTP, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi PEKIDA Pahang, turut mengingatkan generasi muda Melayu menghayati sejarah, terutama tragedi 13 Mei agar tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang.

Katanya, adalah penting kaum Melayu mengekalkan pemerintahan sedia ada bagi memastikan segala agenda memperkasakan Islam dan Melayu terus dilaksana.

"Pilihan Raya Umum Ke-14 semakin hampir. Penting untuk anak muda kita (Melayu) sedar untuk pastikan kerajaan sedia ada (Barisan Nasional) terus mengekalkan kuasa memerintah," katanya.

Beliau turut mengingatkan kaum Melayu, terutama generasi muda agar tidak terpedaya dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang terkenal dengan sikapnya anti Islam dan orang Melayu.

Katanya, sejarah membuktikan pemimpin tertinggi DAP itu pernah membangkitkan sentimen membenci orang Melayu selepas mereka memenangi banyak kerusi pada PRU 1969.

2891 dibaca
Berita Harian X