Khamis, 19 April 2018 | 6:33pm
KETUA Setiausaha Perbendaharaan Negara Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah menyampaikan amanat khas kepada penjawat awam yang diadakan di Dewan Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Tunjung hari ini. - Foto BERNAMA

Pelepasan GST kekalkan kos ECRL

KOTA BHARU: Pelepasan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bertujuan mengekalkan kos pembinaan pada anggaran asal iaitu RM55 bilion.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata pelepasan itu juga mengelakkan kerajaan membuat pinjaman tambahan jika projek mega itu dikenakan GST.

"Ini adalah projek kerajaan, jika dikenakan GST, ia seolah-olah kenakan pada diri sendiri (kerajaan).

"Kita beri pelepasan kerana jika tidak, harga kos projek ini akan meningkat, maka lebih baik pelepasan (GST) dan tidak perlu pinjam lagi, malah kekalkan kos harga yang asal," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan sesi amanat khas bersama penjawat awam dan agensi Kementerian Kewangan di Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan negeri (JPN), di sini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Muhammad Zahari Othman dan Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri, Datuk Mohd Nasir Yusoff.

Mohd Irwan berkata projek ECRL itu bakal menjadi sistem rangkaian kereta api yang termoden dari segi pembinaan dan struktur selain masa perjalanan yang pantas dengan adanya terowong terpanjang di Malaysia iaitu di kawasan Bentong, Pahang.

Projek itu juga membawa kesan besar kepada masyarakat Pantai Timur dari segi pembangunan dan kemajuan pesat yang bakal diterima.

"Dari segi pelancongan, sudah pasti ia akan menarik minat pelancong untuk ke Pantai Timur dengan pembinaan stesen baharu yang secara tidak langsung memesatkan pembangunan di sekitarnya.

"Pusat komersial dan perumahan juga akan dibangunkan, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada pelabur asing untuk menambah pelaburan," katanya.

446 dibaca
Berita Harian X