Selasa, 17 April 2018 | 2:29pm
KEINGINAN Mohammad Irfan Faris, 9, untuk ke sekolah menebal dan membanggakan walaupun tidak bersekolah selama dua tahun, tetapi pandai membaca ketika ditemui di Kampung Sungai Udang. - Foto Noor Azurin Mohd Sharif

Cari ibu kandung anak angkat

MELAKA: Seorang wanita mencari ibu kandung kanak-kanak lelaki yang dijaganya sejak bayi untuk menyelesaikan urusan mendapatkan sijil kelahiran dan memudahkan proses pengambilan anak angkat.

Hamidah Ali, 42, dari Kampung Sungai Udang, di sini, berkata anak angkatnya, Mohammad Irfan Faris Abdullah berusia sembilan tahun mula dijaga sejak diserahkan ibu kandungnya ketika masih bayi.

"Ibunya, Mudzma Abdul Moin, 43, berasal dari Sabah. Sejak dilahirkan, urusan dokumentasi kelahiran Mohammad Irfan tidak dapat dilakukan disebabkan perkahwinan ibu bapa kandungnya tidak didaftarkan.

"Saya bersama suami sudah berusaha mengesannya, namun menemui jalan buntu," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Dia yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, disebabkan masalah itu anak angkatnya tidak dapat bersekolah sejak Tahun Satu.

"Bagaimanapun, dia (Mohammad Irfan) baru saja memulakan sesi persekolahan di Tahun Tiga sejak awal tahun lalu atas pertimbangan dan keprihatinan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pendidikan negeri.

"Kasihan juga disebabkan tiada kad pengenalan diri, hidupnya berdepan kesulitan," katanya.

Hamidah berkata, mengikut rekod akhir daripada pihak JPN, ibu kandung kanak-kanak itu kini berada di sekitar Selangor.

"Mengikut rekod akhir JPN tahun lalu, ibu kandung Mohammad Irfan beralamat di Selangor, bagaimanapun dengan masalah kekangan kewangan dan kenderaan, sukar buat kami menjejaknya hingga ke sana," katanya.


MOHAMMAD Irfan Fris, 9, menunjukkan salinan kad pengenalan ibu kandungnya, Mudzma Abdul Moin yang tidak pernah ditemuinya sejak kecil di Kampung Sungai Udang. - Foto Noor Azurin Mohd Sharif

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu kandung atau waris kanak-kanak itu boleh menghubungi talian 011-26568791 atau Zarina 010-7733950.

916 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »