Rabu, 14 March 2018 | 6:22pm
KOORDINATOR Projek Borneo Highway PDP Sdn Bhd, Ir Mohd Roslee Mohd Ali Lee (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail (kiri) selepas Taklimat SL1M, di Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

SL1M Sabah tawar 6,000 jawatan kosong

KOTA KINABALU: Sebanyak 6,000 peluang pekerjaan ditawarkan sempena temu duga Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang akan diadakan di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Sabtu dan Ahad ini.

Sabah adalah lokasi kedua bagi penganjuran SL1M tahun ini selepas zon tengah di Serdang, Selangor, akhir bulan lalu.

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, berkata SL1M masih mengekalkan konsep sama iaitu menawarkan peluang pekerjaan dan latihan kepada semua pencari kerja tanpa mengira latar belakang dan peringkat kelulusan.

"Jawatan kosong yang ditawarkan adalah daripada 40 syarikat besar dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLC) dari Semenanjung dan negeri ini.

"Saya harap mereka yang sedang mencari pekerjaan merebut peluang yang disediakan," katanya pada sidang media selepas Taklimat SL1M, di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Norashikin berkata, pihaknya menjangkakan lebih 10,000 pengunjung terdiri daripada pencari kerja dan pengunjung hadir sepanjang dua hari program SL1M di UMS.

Selain temu duga terbuka, katanya, pengunjung boleh berkunjung ke Karnival SL1M di luar pekarangan Dewan Canselor UMS yang menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran dan cabutan tiket bertuah.

Pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan barisan artis tempatan seperti Stacy, Marsha, Faizal Tahir dan Kumpulan Zero.

Norashikin berkata, pihaknya sudah melahirkan 144,000 pelatih SL1M sejak penganjuran program itu yang pertama pada 2011, dengan 20 peratus daripada jumlah itu adalah pelatih dari Sabah.

823 dibaca
Berita Harian X