Rabu, 14 Februari 2018 | 10:35pm
KETUA Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Datuk Ir Mohtar Musri. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

JKKP teliti draf panduan keselamatan kerja memesin rumput

BANGI: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP), Kementerian Sumber Manusia sedang menyediakan dan meneliti draf pelan garis panduan keselamatan khusus bagi kerja memesin rumput.

Draf pelan berkenaan mencakupi panduan serta langkah keselamatan yang perlu dipatuhi ketika menjalankan aktiviti memotong dan memesin rumput.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ir Mohtar Musri berkata, pelan berkenaan kini dalam proses pembincangan bersama pemain industri sebelum diterbitkan sekitar bulan depan.

Katanya, menerusi pelan garis panduan keselamatan ia dapat meningkat aspek keselamtan kepada pekerja, orang awam dan lokasi kerja berkenaan.

"Aktiviti memotong rumput ini sukar untuk dikawal kerana ia dilakukan dimana-mana sahaja. Malah kerap berlaku kemalangan, kecederaan dan kerosakan harta akibat terdapat objek yang melayang ketika memesin rumput.

"Maka, garis panduan keselamatan khusus perlu diwujudkan bagi memastikan kemalangan dari aktiviti itu dapat dielakkan dan memastikan pekerja, orang awam dan kawasan berkenaan selamat." katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pelancaran Taklimat Pelan Peralihan Strategik Manual Penaksiran Risiko Bahan Kimia Kepada Kesihatan (CHRA) Edisi Ketiga di Hotel Bangi-Putrajaya, di sini, hari ini,

Program itu bertujuan menyemak dan meminda manual berkenaan bagi memastikan sistem pengelasan dan keselamatan berhubung kaedah penaksiran bahan kimia di tempat kerja relevan mengikut keperluan semasa.

Mohtar berkata, jabatan itu sudah merangka pelan berkenaan sejak tahun lalu dengan menjalankan kajian terperinci, termasuklah meneliti kaedah keselamatan yang digunakan di luar negara.

"Kita lakukan kajian terperinci, termasuk melihat kaedah diguna pakai negara luar seperti Singapura, Jepun dan Australia yang menggunakan penghadang khas bagi kerja memesin rumput di tepi jalan untuk menahan objek dari terbang," katanya.

Semalam, seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menegah di Gemas, Negeri Sembilan maut, sementara dua lagi rakannya cedera selepas terkena bilah pisau traktor mesin rumput yang melayang.

415 dibaca
Berita Harian X