Rabu, 14 Februari 2018 | 7:15pm

40 warga emas ceria terima baucar

JOHOR BAHRU: Seramai 40 warga emas dari Rumah Seri Kenangan (RSK) di sini gembira kerana berpeluang membelanjakan baucar bernilai RM100 di Pasaraya Econsave Permas Jaya, di sini.

Baucar sumbangan Pasaraya Econsave itu membolehkan penghuni berketurunan Tionghua itu membeli barangan keperluan menjelang perayaan Tahun Baharu Cina.

Penerima, Tee Keng Soon, 73, berkata sumbangan itu digunakan untuk membeli makanan dan minuman bagi menyambut perayaan bersama rakan.

"Saya amat gembira kerana dapat berbelanja bersama rakan-rakan. Saya berharap program sama dapat diteruskan," katanya.

Penerima lain, Yap Chu Yong, 80, berkata dia tidak menyangka dapat membeli-belah bersama penghuni RSK dan membeli barangan kegemarannya.

"Tahun Baharu Cina kali ini, saya dapat beli apa yang saya ingin untuk makan dan mahu berkongsinya bersama rakan," katanya.

Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Bahagian Selatan, Mas Imran Adam, berkata program membabitkan penghuni RSK itu adalah yang ketiga diadakan baru-baru ini.

Katanya, tahun lalu, mereka juga diraikan sempena Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina.

"Kami bercadang menganjurkan program sama untuk setiap perayaan utama tahun ini. Kami harap ia dapat menyedarkan orang ramai dalam membantu golongan kurang bernasib baik.

"Kebanyakan mereka tidak ada waris namun apabila menerima perhatian masyarakat, kehidupan mereka dilihat lebih ceria dan bermakna," katanya.

206 dibaca
Berita Harian X