Rabu, 14 Februari 2018 | 7:09pm

Karnival Go 4.0 pentas lahir usahawan ekonomi digital

LANGKAWI: Karnival Go 4.0 Langkawi 2018 akan menjadi landasan terbaik untuk usahawan muda menimba ilmu ekonomi digital terkini ke arah menjana pendapatan lumayan.

Karnival dua hari anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah di Parkir Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), bermula Jumaat ini, akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Sabtu.

Yang Dipertua DPMM Kedah, Zuhaizar Abdul Karim, berkata pihaknya menyasarkan 10,000 pengunjung sepanjang karnival dengan matlamat melahirkan lebih ramai usahawan ekonomi digital.

Katanya, pengunjung juga berpeluang berkongsi pengalaman dengan Duta Karnival Go 4.0 Langkawi juga usahawan muda, Anis Atirah Zuhaizar, 21, yang kini berjaya dalam perniagaan kosmetik secara dalam talian.

"Kita mahu generasi muda mempelajari konsep perniagaan baharu menggunakan teknologi digital yang semakin berkembang dan terbukti boleh menjana pendapatan lumayan.

"Di karnival ini, pengunjung boleh mendapatkan maklumat di lebih 100 gerai usahawan yang berjaya memasarkan produk menggunakan landasan media sosial," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Zuhaizar berkata, pelbagai acara menarik lain disediakan, antaranya hiburan, sukaneka, cabutan bertuah, ceramah agama, pertunjukan robot, belon panas dan forum keusahawanan.

"Malah, selebriti termasuk penyanyi legenda dari Singapura Datuk Ramli Sarip, penyanyi popular remaja, Aiman Tino, pelakon dan pelawak Didie Alias serta Lan Pet Pet, turut hadir.

"Pengunjung juga berpeluang beramah mesra dengan pemain skuad Helang Merah dan menyaksikan tarian teknologi lampu diod pemancar cahaya (LED)," katanya.

Sementara itu, Anis Atirah yang juga pelajar semester lima Universiti Teknologi MARA dalam bidang Komunikasi Massa, berkata beliau bersedia berkongsi pengalaman dengan pengunjung.

"Saya bersyukur dilantik sebagai duta karnival dan bersedia berkongsi kejayaan berniaga kosmetik menggunakan landasan media sosial sehingga memperoleh pendapatan lumayan.

"Semua orang boleh buat duit dengan mudah menggunakan konsep ekonomi digital. Saya akan dedahkan semua rahsia kejayaan dalam karnival kelak," katanya.

Keterangan gambar:

1. Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kedah, Zuhaizar Abdul Karim (tengah) pada sidang media berkaitan Karnival Go 4.0 Langkawi 2018 di Langkawi, hari ini. STR/HAMZAH OSMAN

2. Pelajar UiTM, Anis Atirah Zuhaizar, 21, dilantik sebagai Duta Karnival Go 4.0 Langkawi 2018 yang bakal berlangsung di Parkir Lembaga Pembangunan Langkawi selama dua hari, mulai Jumaat ini. STR/HAMZAH OSMAN

275 dibaca
ZUHAIZAR Abdul Karim (tengah) pada sidang media berkaitan Karnival Go 4.0 Langkawi 2018 di Langkawi.- Foto Hamzah Osman
Berita Harian X