Rabu, 14 Februari 2018 | 6:07pm
SEBAHAGIAN penduduk kampung mengadakan bantahan terhadap projek pembinaan tanah perkuburan cina di Kampung Bukit Cerakah, Klang. - Foto Muhammad Sulaiman

Ketua Kampung minta SPRM siasat pembinaan jirat Cina

PUTRAJAYA: Lima ketua kampung mewakili kira-kira 200,000 penduduk di sekitar Jeram, Kuala Selangor meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung isu kelulusan pembinaan jirat Cina di Kampung FELDA Bukit Cherakah yang dikatakan menjejaskan sensitiviti masyarakat di kawasan berkenaan.

Lima kampung terbabit ialah Kampung FELDA Bukit Cherakah; Kampung Bukit Hijau, Kampung Bukit Kapar, Kampung Bukit Kerayong dan Bandar Puncak Alam.

Salah seorang wakil penduduk, Meklas Ahmad Suparno, berkata pihaknya mahu siasatan telus dijalankan ke atas projek berkenaan kerana terdapat beberapa perkara yang meragukan terutama dalam proses kelulusan projek itu.

"Timbul beberapa keraguan dalam perubahan syarat tanah dan kelulusan tanah di peringkat kerajaan negeri Selangor serta Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor.

"Kita tidak menentang projek berkenaan tetapi lokasinya tidak sesuai iaitu ditengah-tengah kawasan yang penduduknya 99 peratus adalah masyarakat Melayu," katanya ketika di temui di Ibu Pejabat SPRM di sini, semalam.

Katanya, lebih dikesalkan apabila penduduk hanya mengetahui mengenai pembangunan projek berkenaan apabila kerja-kerja pembersihan mula dijalankan sejak Januari lalu.

Meklas berkata, pihak pemaju dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak memaklumkan projek pembangunan kubur Cina itu kepada penduduk yang majoritinya berbangsa Melayu.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Masyarakat Prihatin, S Hassan Kuthoos Syed Ahamed Kabeer, berkata sebelum ini penduduk lima kampung berkenaan sudah menghantar memorandum kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) namun, masih belum menerima sebarang maklum balas.

"Walaupun sudah banyak bantahan dibuat tetapi pihak pemaju tetap meneruskan aktiviti pembersihan kawasan dan membuat jalan dikawasan berkenaan.

"Oleh itu, kita mahu SPRM menjalankan siasatan secara telus mengenai pembangunan projek kubur Cina ini supaya kemelut ini dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

1018 dibaca
Berita Harian X