Rabu, 14 Februari 2018 | 4:07pm
RAMLI Mat Amin bersama isterinya Timah Kassim menjahit atap nipah yang ditempah pelanggannya di Kampung Jenang.- Foto Nazdy Harun

Rezeki atap nipah

MARANG: Walaupun dihambat arus kemodenan, permintaan terhadap atap nipah masih mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Pengusaha, Ramli Mat Amin, 65, dari Kampung Jenang, di sini, berkata dia mengusahakan pembuatan atap nipah sejak 17 tahun lalu bersama isterinya Timah Kassim, 61, dan menjadikan laman sosial sebagai medan untuk mempromosikan atap yang dihasilkan.

Ramli yang dikategori sebagai orang kurang upaya (OKU) berkata, setiap bulan dia mampu menghasilkan 2,000 keping atap nipah yang dijual pada harga RM2 sekeping.

"Untuk menyiapkan atap nipah yang ditempah, setiap hari saya dan menantu ke kawasan paya nipah untuk memungut daun nipah sebelum dijadikan atap.

"Selain itu, buluh dan rotan juga perlu dicari di kawasan hutan berhampiran kampung untuk digunakan dalam proses menyiapkan sekeping atap," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Tempahan, katanya, datang dari seluruh negara terutama dalam kalangan pemilik chalet, kem latihan, kedai makan dan rumah kongsi balak yang biasa menggunakan atap berkenaan.

Katanya, setiap hari dia mampu menyiapkan 50 keping atap yang dijahit menggunakan rotan pada buluh yang sudah dibelah dan setiap keping atap mampu bertahan hingga empat tahun.

Ramli berkata, dia mengusahakan pembuatan atap nipah berikutan kerja itu dilihat lebih sesuai dengannya selepas kaki kirinya dipotong akibat kemalangan di kawasan kongsi balak.

"Lapan hingga 20 pelepah daun nipah mampu menghasilkan 25 keping atap dan kerja menjahit atap pula dilakukan bermula jam 8 pagi hingga ke petang, setiap hari.

"Permintaan hingga kini tidak pernah putus, malah melalui strategi pemasaran melalui media sosial sambutannya semakin menggalakkan," katanya.

217 dibaca
Berita Harian X