Rabu, 14 Februari 2018 | 3:52pm
CHOONG Kon Fah, (dua dari kiri) bersama tiga anakn OKU sudah 10 tahun tinggal, di Pusat Kebajikan Care Haven, Kota Kinabalu.- Foto Amniera Naziera Amran

'Susah senang kami tetap bersama'

KOTA KINABALU: "Sudah 10 tahun kami anak beranak tinggal di sini dan di pusat ini jugalah kami sambut Tahun Baharu Cina bersama penghuni lain."

Ibu tunggal, Choong Kon Fah, 70, bersama tiga kepada tiga anak kurang upaya (OKU) adalah antara 16 penghuni Pusat Kebajikan Care Haven, Kota Kinabalu.

Beliau menetap di pusat itu bersama tiga anak perempuan OKU iaitu Voo Ket Sen, 42; Voo Ket Nyuk, 37, dan Voo Ket Wan, 29, sejak 2008, dua tahun selepas suaminya meninggal dunia.

Kon Fah mempunyai dua lagi anak masing-masing berusia 30 dan 40 tahun yang sudah berumahtangga dan mempunyai keluarga sendiri.

"Setiap kali Tahun Baharu Cina, dua lagi anak saya akan datang dan bawa kami jalan-jalan, tapi tak lama kerana susah jaga tiga anak OKU di luar.

"Bagaimanapun, saya tetap gembira meraikan Tahun Baharu Cina di sini bersama rakan lain walaupun mereka bukan berketurunan Cina," katanya ketika ditemui di Pusat Kebajikan Care Haven Likas, di sini, baru-baru ini.

Kon Fah mengakui ada yang menasihatkannya menempatkan semua anak OKU ke rumah kebajikan berlainan, namun beliau tidak sanggup berpisah dengan darah daging sendiri.

Beliau berasal dari Kudat dan mengakui hanya bergantung hidup dengan ihsan jiran yang memberi makanan sebelum ke pusat kebajikan itu.

"Jiran amat mengambil berat dengan kehidupan kami dan berusaha menempatkan kami di sini," katanya.

490 dibaca
Berita Harian X