Rabu, 14 Februari 2018 | 12:15pm

2 nelayan warga asing ditahan

PELABUHAN KLANG: Dua lelaki warganegara Indonesia ditahan di atas sebuah bot nelayan tempatan di perairan Kuala Selangor, pagi semalam, selepas didapati tidak memiliki permit kerja.

Kedua-dua lelaki tanpa dokumen perjalanan sah itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) jam 11 pagi, pada kedudukan 8.9 batu nautika dari perairan Kuala Selangor.

Pengarah Maritim Daerah, Kepten Maritim Abu Zaki Mohammad, berkata pemeriksaan awal mendapati kedua-dua lelaki masing-masing berusia 32 tahun dan 43 tahun itu adalah pekerja di atas bot nelayan berkenaan.

"Turut dirampas, sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 dan hasil tangkapan udang geragau seberat 40 kilogram (kg).

"Kedua-dua nelayan ini kemudian diiringi ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Selangor, untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar arahan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan serta tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

Sebarang aduan, kecemasan dan aktiviti jenayah di laut, hubungi talian 24 jam MERS 999 atau pusat operasi Maritim Malaysia.

106 dibaca
Berita Harian X