Sabtu, 20 Januari 2018 | 7:11pm

Bomba guna helikopter hantar makanan kepada mangsa banjir

TATAU:  Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menggerakkan helikopternya untuk menghantar bekalan makanan kepada penduduk terjejas akibat banjir di pedalaman daerah Tatau di Bintulu, hari ini.

Penghantaran bekalan ke Rumah Dilang Nanga Tau di Tatau, dilakukan dengan tiga penerbangan berulang alik dari Dewan Sukan Tatau.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, penerbangan pertama pada jam 2.43 petang membawa sebanyak 800 kilogram bekalan makanan.

Beliau berkata, berikutan cuaca agak baik penerbangan kedua dilakukan pada jam 3.36 petang dengan membawa 1,400 kilogram dan penerbangan ketiga diteruskan pada jam 4.29 petang, juga membawa 1,400 kilogram bekalan makanan.

"Bekalan makanan itu adalah keperluan untuk diagihkan kepada 17 rumah panjang di kawasan terbabit yang membabitkan seramai 342 penduduk yang terjejas akibat banjir sejak beberapa hari lalu.

"Turut bersama dalam operasi penghantaran itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tatau, Nazari Harun, Pegawai Operasi JBPM Zon Bintulu, Mohd Irwin Abidin serta dua anggota polis, dan masing-masing seorang dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Daerah Tatau," katanya.

Ling Hii berkata, selepas penghantaran ketiga yang selesai pada jam 6 petang, helikopter Unit Udara Bomba itu bergerak ke Bintulu untuk mengisi minyak sebelum balik ke pangkalan udara di Miri.

"Operasi menghantar bekalan makanan yang diketuai juruterbang, Mejar Zahrolayali Abdul Talif dengan sembilan kru akan disambung semula esok." katanya.

387 dibaca
JBPM menggunakan helikopter untuk menghantar bekalan makanan kepada penduduk terjejas akibat banjir di pedalaman daerah Tatau.

Berita Harian X