Jumaat, 19 Januari 2018 | 2:27pm
KEADAAN banjir di sebuah sekolah di kawasan Ulu Sebauh. - Foto Erika George

Sebauh sedia hadapi banjir

BINTULU: Hujan lebat sejak dua hari lalu dikhuatiri akan mencetuskan gelombang kedua banjir di daerah Sebauh, di sini.

Berikutan itu, penduduk setempat terutama yang tinggal di tebing Sungai Kemena dan Sungai Sebauh kini berjaga-jaga bagi menghadapi bencana itu.

Ia berikutan paras air semakin naik dan mula melimpah memasuki perkarangan rumah serta parit besar terutama pada waktu malam ketika air sungai pasang penuh.

Tinjauan BH ke daerah berkenaan hari ini, mendapati paras air di tebing Sungai Kemena sudah mencecah tebing, sekali gus boleh menyebabkan banjir jika hujan berterusan.

Pegawai Tadbir Daerah Sebauh, Frances Sherri Lia, ketika dihubungi berkata, Bilik Gerakan Banjir Sebauh kini dibuka 24 jam bagi memudahkan bantuan digerakkan segera jika banjir gelombang kedua melanda.

"Penduduk boleh menghubungi Bilik Gerakan Sebauh di talian 086-422118 jika berlaku banjir di kawasan masing-masing," katanya.

Banjir melanda kawasan Sebauh minggu lalu menyebabkan beberapa penempatan di kawasan itu terjejas dan sebuah sekolah masih ditutup sehingga hari ini.

Sementara itu, tinjauan di pekan Pandan dan pekan Labang mendapati air masih pada paras normal manakala di kawasan Ulu Sebauh, paras air mengalami kenaikan sehingga 0.5 meter serta menenggelamkan jambatan di sebuah sekolah.

Air turut didapati naik di penempatan sepanjang Sungai Sebauh, namun rumah panjang di kawasan itu dibina tinggi dengan tiang mencecah dua meter yang mampu mengelak kediaman dinaiki air.

271 dibaca
Berita Harian X