Khamis, 18 Januari 2018 | 3:01pm
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang bersama Ketua Pegawai Eksekutif HDC Sarawak, Mohamad Asman Ahmad (kanan) dan Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam (kiri) melihat pelan Projek RMR Kampung Bunga Rampai, Kuching. - Foto Mohd Latif Ahmad

Penduduk pindah ke tempat lebih selamat

KUCHING: Kerajaan akan membina Rumah Mesra Rakyat di Kampung Bunga Rampai, bagi menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada penduduk di kampung berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang, berkata pelaksanaan projek hasil inisiatif Ketua Menteri, Abang Johari Abang Openg itu penting bagi menyelesaikan banjir dan ancaman tanah runtuh.

Beliau berkata, pembinaan 122 unit rumah itu membolehkan penduduk berpindah ke kawasan yang lebih selamat dan selesa.

"Saya amat gembira kerana sudah hampir 35 tahun penduduk di Kampung Bunga Rampai menunggu projek seperti ini dan saya yakin projek ini akan dapat menyelesaikan isu berkaitan banjir dan tanah runtuh yang membelenggu penduduk selama ini," katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas menyaksikan penyerahan Perakuan Pemilikan Tapak, projek itu oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Sarawak kepada kontraktor, Saratech Sdn Bhd di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif HDC Sarawak, Mohamad Asman Ahmad, Pegawai Daerah Bau, Anielia Siam dan Ketua Kampung Bunga Rampai, Rafaee Bujang.

Khere Chiang berkata, tempoh pembinaan rumah di tapak seluas lebih 4.4 hektar itu dijangka mengambil masa selama 21 bulan, dengan kos lebih RM23 juta.

Katanya, setiap unit rumah teres satu tingkat itu yang mempunyai keluasan lantai 700 kaki persegi dengan tiga bilik tidur, dua tandas dan ruang meletak kereta.

155 dibaca
Berita Harian X