;
Khamis, 18 Januari 2018 | 10:52am
ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah Raub membantu memindahkan mangsa banjir di Raub. - Foto ihsan Bomba

Banjir kilat di Raub

KUANTAN: Banjir kilat di Raub sejak awal pagi tadi menyebabkan 24 mangsa membabitkan tujuh keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 10 pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang Kolonel (PA) Zainal Yusoff, berkata dua PPS berkenaan adalah PPS Surau RRM Cheroh yang menempatkan 10 orang daripada dua keluarga dan Masjid Jamek Kuala Semantan (14 orang; 5 keluarga).

"Semua mangsa dari Kampung Kuala Semantan dan Rancangan Rumah Murah (RRM) Cheroh. Kita jangka jumlah mangsa akan meningkatkan berikutan aliran air menaik," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah mangsa banjir di Pekan pula masih kekal 102 mangsa daripada 26 keluarga di dua PPS, setakat jam 10 pagi.

"Dua PPS berkenaan adalah SK Temai yang menempatkan seramai 93 orang daripada 24 keluarga dan Sekolah Kebangsaan (SK) Aceh (9 orang, 2 keluarga)," katanya.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Mohd Sani Harul berkata, tanah runtuh berlaku di jalan utama dari Jalan Ulu Sungai menghala Technology Park Malaysia (TPM), di Raub menyebabkan laluan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan sejak jam 6 pagi tadi.

Katanya, runtuhan tanah bersama lumpur dan pokok di kawasan berkenaan menyebabkan laluan jalan raya terhalang.

Bagaimanapun setakat ini, tidak berlaku sebarang kemalangan membabitkan pengguna.

718 dibaca
Berita Harian X