Ahad, 14 Januari 2018 | 12:26am
PENASIHAT Kehormat Pertubuhan Ayahanda Anakanda Malaysia (PAAK), Tengku Iskandar Tengku Ahmad Panglima Raja (tengah) bergambar bersama sebahagian penerima anugerah yang terdiri daripada ahli PAAK di majlis Ulangtahun Ketiga Anugerah Tokoh-tokoh NGO Islam Kebangsaan di Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Peranan NGO satukan bangsa Melayu

KOTA BHARU: Kewujudan banyak parti politik baharu kini dilihat lebih banyak membawa kepada perpecahan bangsa Melayu dan umat Islam.

Sehubungan itu, orang Melayu digesa menyertai atau menubuhkan lebih banyak persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berpaksikan perpaduan bangsa Melayu sekali gus mempertahankan Islam.

Presiden Persatuan Ayahanda Anakanda Malaysia (PAAK), Datuk Suzainal Adnan Sukri, berkata isu politik perlu diketepikan dalam hal membela agama dan perpaduan bangsa meskipun di kalangan ahli persatuan itu sendiri terdiri daripada pelbagai fahaman politik.

"Sekarang banyak isu perkauman dan penghinaan kepada institusi raja yang memerlukan kepada permuafakatan kita sebagai bangsa Melayu dan umat Islam untuk membela.

"Saya menyeru demi perpaduan dan matlamat untuk membela Islam dan bangsa Melayu agar semua umat Islam bersatu dalam NGO yang membawa matlamat yang sama," katanya ketika sidang media di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas majlis Ulangtahun Ketiga Anugerah Tokoh-tokoh NGO Islam Kebangsaan yang dihadiri kira-kira 600 ahli PAAK di mana 400 daripadanya menerima anugerah terbabit.

Suzainal Adnan berkata, setakat ini terdapat seramai 14,000 ahli PAAK di seluruh negara membabitkan 32 gabungan yang mempunyai misi yang sama iaitu perjuangan bangsa Melayu dan membela Islam.

577 dibaca
Berita Harian X