Sabtu, 13 Januari 2018 | 6:14pm
LAM Thye (tengah) bersama pelajar di program bantuan kepada 47 pelajar pada majlis anugerah kecemerlangan USPR, PT3 2017 zon utara di Eco World Gallery @ Eco Horizon, Batu Kawan. - Foto Ramdzan Masiam

Yayasan Eco World rai pelajar cemerlang wilayah utara

BATU KAWAN: Seramai 47 pelajar cemerlang peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolan Rendah (UPSR) dan Penilaian Tingkatan Tiga (PT3) 2017 sekitar wilayah utara diraikan Yayasan Eco World pada majlis khas di sini, hari ini.

Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata semua pelajar berkenaan menunjukkan prestasi membanggakan hasil usaha keras mereka sepanjang tahun.

Katanya, majlis penganugerahan itu diadakan setiap tahun sebagai komitmen dan sokongan yayasan kepada pihak sekolah bagi memastikan pelajar cemerlang mendapat galakan berterusan.

"Tumpuan utama kita melalui Program Bantuan Pelajar (SAP) adalah membantu pelajar dari keluarga berpendapatan rendah tanpa mengira bangsa.

"Melalui SAP, kita bukan sahaja bantu aspek pendidikan, tetapi turut membantu sekolah menyediakan makanan tambahan dan membayar yuran serta tuisyen pelajar," katanya ketika berucap di majlis itu.

Yang turut hadir Ahli Pemegang Amanah Yayasan Eco World, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dan Philip Mathews serta Pengurus Besar Wilayah Utaranya, Chan Soo How.

Pada majlis itu, murid cemerlang UPSR menerima hadiah wang tunai antara RM100 hingga RM200 mengikut kategori bersama hadiah iringan, manakala pelajar cemerlang PT3 menerima hadiah wang tunai antara RM250 hingga RM500 mengikut kategori.

Lam Thye berkata, pada masa sama pihaknya juga sudah membantu 55 pelajar universiti dengan 18 daripadanya berjaya menamatkan pengajian peringkat ijazah pertama.

"Adalah menjadi harapan saya untuk melihat lebih ramai pelajar kita dapat dibantu bermula dari sekolah rendah sehingga ke peringkat universiti pada masa hadapan.

"Kita juga berharap, pelajar tajaan kita dapat menyumbang kembali kepada masyarakat dengan menjadi individu yang bertanggungjawab kepada negara," katanya.

198 dibaca
Berita Harian X