Sabtu, 13 Januari 2018 | 5:56pm
PENGUNJUNG membaca buku di Perpustakaan 1Wilayah Persekutuan Medan Idaman, Setapak. - Foto Rosela Ismail
TENGKU Adnan (tengah) merasmikan Perpustakaan 1Wilayah Persekutuan Medan Idaman, Setapak. - Foto Rosela Ismail
TENGKU Adnan (tengah) membacakan buku kepada kanak-kanak yang hadir ke Perpustakaan 1Wilayah Persekutuan Medan Idaman, Setapak. - Foto Rosela Ismail
PENGUNJUNG membaca buku di Perpustakaan 1Wilayah Persekutuan Medan Idaman, Setapak. - Foto Rosela Ismail

13,000 naskhah buku Perpustakaan Medan Idaman

KUALA LUMPUR: Sebanyak 13,231 naskhah buku ditempatkan di Perpustakaan 1Wilayah Persekutuan Medan Idaman, Setapak, di sini.

Perpustakaan itu dibuka kepada orang ramai mulai hari ini ini selepas dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, pagi tadi.

Perpustakaan bernilai RM5 juta itu dibina menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kelolaan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dilengkapi buku bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Selain itu, bacaan lain meliputi akhbar, 35 judul majalah dewasa dan kanak-kanak serta bahan bacaan elektronik seperti e-books mencakupi 2,300 tajuk.

Tengku Adnan berkata, perpustakaan menawarkan kemudahan seperti pinjaman buku untuk semua lapisan usia, perkhidmatan Internet dan Wifi, bilik komputer dan bilik serbaguna membuktikan keprihatinan kerajaan kepada penduduk setempat.

Katanya, lokasinya juga sangat strategik iaitu berdekatan surau, sekolah, penempatan dan Pusat Komuniti Taman Ibukota yang memudahkan masyarakat berbilang kaum mengunjunginya

Beliau berkata, perpustakaan itu juga akan bekerjasama dengan persatuan penduduk, guru sekolah serta mana-mana individu dalam menjalankan pelbagai acara bersama termasuk pertandingan melukis, mewarna, bercerita dan `info hunt' setiap minggu.

"Pengurusan Perpustakaan 1Wilayah Persekutuan juga memperkenalkan program baharu iaitu `Friends of KL Libraries' iaitu kerjasama dengan orang awam berminat menyumbang tenaga dan buah fikiran untuk bersama menghasilkan pelbagai aktiviti berbentuk kemasyarakatan dan berdaya intelektual," katanya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan berharap pembinaan perpustakaan itu menjadi contoh kepada syarikat swasta lain untuk melaksanakan CSR bagi menyediakan kemudahan kepada rakyat, sekali gus merangsang kehidupan sihat warga kota.

Katanya, perpustakaan berkenaan adalah yang kedua dibina MRCB menerusi CSR dengan yang pertama Perpustakaan 1Wilayah Persekutuan Lembah Pantai pada 2015, manakala sebuah lagi akan menyusul di Kampung Pandan, di sini dalam tempoh terdekat.

"Jangan pula gunakan kemudahan ini untuk lepak menyebarkan khabar angin dan propaganda, sebaliknya manfaatkan untuk kegiatan berfaedah demi kepentingan bersama," katanya.

Fakta Nombor:
Perpustakaan 1Wilayah Persekutuan Medan Idaman

- 13,231 - naskhah buku

- RM5 juta - kos pembinaan

509 dibaca
Berita Harian X