Sabtu, 13 Januari 2018 | 2:22pm
NAMAT (berkerusi roda) bersama ahli Kumpulan Harley Utara ketika berkunjung ke rumah beliau bersempena Program Amal Sinar Kasih Harley Utara Bagi Menyantuni Bekas Atlet di Taman Peruda, di sini, semalam. - Foto Nor Farhani Che Ad

Lagenda bola sepak terima sumbangan

SUNGAI PETANI: Lagenda bola sepak negara, Datuk Namat Abdullah, 72, yang kini lumpuh akibat diserang angin ahmar dua tahun lalu, ceria dikunjungi rakan seperjuangan bersama Kumpulan Harley Utara, hari ini.

18 motosikal berkuasa tinggi bersama lima kereta berkonvoi dari Alor Setar ke kediaman bekas atlet negara itu di Taman Peruda, di sini, untuk menziarahi Namat yang kini turut menderita akibat barah usus tahap tiga.

Konvoi diketuai Presiden Kumpulan Harley Utara, Ahmad Tarmizi Mohd Saad, turut disertai Pengurus Operasi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Aminuddin Mohd Nasir; bekas jurulatih kebangsaan, Datuk Mohamad Bakar; bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Shukor Salleh dan lagenda sepak takraw negara, Adnan Saidin.

Namat selaku tonggak pertahanan negara yang pernah beraksi bersama skuad Olimpik di Munich pada 1972, menderita akibat barah usus tahap tiga sejak Ogos tahun lalu, dan penyakit itu dikesan selepas beliau kerap demam selain mengalami berak berdarah.

"Selepas mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital swasta, doktor mengesahkan saya menghidapi kanser usus tahap tiga.

"Bagaimanapun, saya tidak boleh menjalani rawatan kemoterapi atau pembedahan disebabkan faktor usia dan doktor hanya memasukkan sejenis alat ke dalam usus bertujuan bagi meluaskan kawasan usus yang terdapat sel kanser.

"Kini saya hanya bergantung dengan alat itu selain turut berusaha mendapatkan rawatan perubatan tradisional bagi mengubati penyakit yang saya tanggung sekarang ini," katanya yang kini terpaksa menggunakan kerusi roda akibat lumpuh separuh badan.

Ahmad Tarmizi ketika ditemui, berkata tujuan program ini bagi menyalurkan sumbangan kepada bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara yang amat memerlukan bantuan sara hidup.

"Kita difahamkan selain hanya bergantung pada pencen, beliau juga menerima bantuan daripada YAKEB.

"Bagaimanapun kita melihat ia tidak mencukupi bagi menampung kos rawatan mencecah ribuan ringgit, jadi kita membantu meringankan beban dengan menyalurkan bantuan kewangan dan barangan keperluan harian," katanya.

Tarmizi berkata, pihaknya bercadang memperluaskan program itu ke negeri lain bagi mengenal pasti lebih ramai bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara yang memerlukan bantuan.

Selain Namat program sama turut mengunjungi dan menyampaikan sumbangan kepada tiga bekas atlet lain iaitu bekas pemain bola sepak negara, Domi Che Non dan Rahman Tasu, selain keluarga bekas tekong skuad takraw negara, Allahyarham Abdul Rahman Md Nor.

841 dibaca
Berita Harian X