Jumaat, 12 Januari 2018 | 11:55am
BUNG Moktar Radin

BN Kinabatangan yakin menang

KINABATANGAN: UMNO Kinabatangan yakin mampu mengekalkan kemenangan dengan majoriti besar di kerusi parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bahagian itu, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata jentera UMNO di bahagian bersedia 100 peratus dan cuma menunggu gendang PRU-14 dipalu.

Katanya, jentera di peringkat bahagian juga sudah lama digerakkan dengan rangka kerja bermula sejak selepas PRU-13.

"Saya tidak melebihi kuasa Tuhan, tapi kita amat pasti UMNO Kinabatangan masih kukuh dan kebal daripada mana-mana ancaman parti pembangkang.

"InsyaAllah bubar saja parlimen, kita akan bertaburan seperti 'semut' untuk bertemu dengan pengundi," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pada PRU-13, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan mendapat majoriti 9,731 undi dalam pertandingan empat penjuru mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Reformasi Negeri (STAR) dan Bebas.

Bagi kerusi DUN Sukau, wakil rakyatnya, Datuk Saddi Abdul Rahman mendapat majoriti 4,419 undi, manakala DUN Kuamut yang diwakili Datuk Masiung Banah daripada Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) mendapat majoriti 4,618 undi.

Bung Moktar berkata, beliau juga yakin kerjasama yang baik dengan parti komponen di bahagian berkenaan mampu menyumbang kepada kemenangan calon Barisan Nasional (BN).

Katanya, beliau percaya BN masih menjadi pilihan rakyat di kawasan itu kerana kerja keras pemimpin, selain pelbagai bantuan disalurkan kerajaan bagi membangunkan kawasan Kinabatangan.

317 dibaca
Berita Harian X