Jumaat, 3 November 2017 | 8:33pm

Lebih 600 pau terjual setiap hari


AHMAD Faisal Mohamad, 38, menunjukkan antara kuih pau yang dijualnya mendapat sambutan pelanggan - Foto Faris Zainuldin.

KOTA BHARU: Keputusan untuk menjual kuih pau sejak setahun lalu, ternyata berbaloi apabila kini mampu menjual lebih 600 kuih itu sehari.

Sebelum ini, Ahmad Faisal Mohamad, 38, sudah mencuba pelbagai jenis perniagaan, namun tidak berhasil sebelum mengambil keputusan menjual kuih pau.

Bapa kepada dua cahaya mata itu menyewa Food Truck dan memilih di Jalan Hospital berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Garong, di sini sebagai tempat menjual kuih kegemaran ramai itu.

Katanya, ketika mula berniaga, hanya 100 biji pau terjual setiap hari, namun berkat kesabaran dan semangat yang tidak pernah luntur, jualannya bertambah dari semasa ke semasa selepas mula dikenali pelanggan.

"Saya mendapat pau dari pembekal di Kubang Kerian setiap hari. Tekstur yang lembut serta inti pau yang padat antara faktor utama pau yang saya jual diminati ramai.


AHMAD Faisal Mohamad dan isteri, Nor Ehsani Mohd Nor melayan pelanggan yang datang membeli pau - Foto Faris Zainuldin.

"Setakat ini terdapat tujuh jenis pau yang saya jual iaitu pau kaya, kelapa, kacang hitam, kari ayam, daging dan yang paling mendapat sambutan ialah pau cendawan. Kami menjual pau ini dengan harga RM1.20 hingga RM2.50 sebiji.

"Selain itu, saya turut menjual minuman air barli dan soya, saya dan isteri, Nor Ehsani Mohd Noor, 43, memprosesnya sendiri untuk dijual. Kami hanya menjual menu yang sama dan terhad bagi memastikan kualiti dan rasa terbaik buat pelanggan," katanya.

Ahmad Faisal mengakui dia begitu berminat dalam bidang perniagaan dan sebelum ini pernah menjalankan perniagaan menjual nasi, beras, barangan runcit malahan juga barang komputer, namun tidak mendapat sambutan sebagai mana jualan kuih pau itu.

Jelasnya, sepanjang menjalankan perniagaan, dia menerima banyak maklum balas positif daripada pelanggan.

"Malah ada pelanggan luar Kelantan seperti dari Kuala Lumpur dan Perak yang datang kali kedua ke sini mencari pau kami kerana rasanya yang sedap.

"Saya dan isteri berniaga setiap hari kecuali Sabtu untuk meluangkan masa dengan anak-anak. Biasanya gerai 'food truck' ini akan dibuka bermula jam 12.30 tengah hari hingga 7 petang, di sini.

"Pada sebelah malam dari jam 8 hingga 9 malam kami akan bergerak dan meniaga di hadapan Hospital Raja Perempuan Zainab II," katanya.

2124 dibaca
Berita Harian X