Jumaat, 13 Oktober 2017 | 9:04pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan, Nawi Mohamad (dua dari kiri) bersama Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan Negeri Terengganu (KPDNKK), Azlan Abdul Samat (kiri) memantau skim kawalan harga pada majlis Pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Deepavali bagi Negeri Terengganu 2017 di Mydin Mall Kuala Terengganu. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Awas peniaga tidak mematuhi Skim Kawalan Harga

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 100 premis niaga di seluruh Terengganu akan menjadi tumpuan penguatkuasaan sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Deepavali 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Nawi Mohamad, berkata tempoh penguatkuasaan akan dilaksanakan selama 10 hari bermula hari ini hingga 22 Oktober membabitkan 16 jenis barangan.

"Kawalan harga antaranya membabitkan ayam, daging kambing tempatan, telur, cili merah, tomato, kelapa biji dan parut, bawang merah, bawah besar, ubi kentang dan kacang dal.

"Dengan kerjasama semua pihak termasuk Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kelab Sahabat KPDNKK, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Skuad Pengguna, kita yakin dapat melancarkan pelaksanaan sistem kawalan harga di negeri ini.

"Malah, dengan adanya penguatkuasaan berterusan kita dapat mengelak rakyat terbeban dengan tindakan peniaga menaikkan harga sesuka hati," katanya selepas melancarkan SKHMP sempena Deepavali 2017 negeri Terengganu di pasar raya besar Mydin di sini, hari ini.

Katanya, peniaga perlu mematuhi arahan yang dikenakan dan beretika dalam menguruskan transaksi perniagaan mereka dengan pelanggan.

"Kita juga komited dalam melaksanakan penguatkuasaan seimbang bagi mewujudkan ekosistem perdagangan yang adil dan kondusif, terutama untuk melindungi pengguna," katanya.

116 dibaca
Berita Harian X