Jumaat, 13 Oktober 2017 | 8:18pm

ST siasat letupan alat pemanas air di hotel

SEREMBAN: Suruhanjaya Tenaga (ST) mengarahkan Hotel Avillion Port Dickson menghentikan sementara penggunaan alat pemanas air jenis penstoran berikutan kejadian letupan yang berlaku di sebuah bilik hotel berkenaan, Selasa lalu.

Jurucakap ST dalam satu kenyataan hari ini berkata, arahan itu bagi membolehkan pemeriksaan lanjut dilakukan pihaknya untuk mengenal pasti punca kerosakan alat berkenaan.

Katanya, kebiasaannya alat pemanas air jenis penstoran dilengkapi dengan ciri keselamatan bagi mengelakkan tekanan berlebihan yang boleh mengakibatkan letupan.

"Berikutan itu, ST menasihatkan semua pengguna alat pemanas air jenis penstoran supaya membuat pemeriksaan lebih kerap iaitu sekurang-kurangnya enam bulan sekali.

"Pengguna juga dinasihatkan mendapatkan khidmat pembekal alat pemanas air untuk memeriksa ciri keselamatan (sistem yang dipasang pada premis masing-masing)," katanya.

Jurucakap ST antara lain turut menasihatkan pengguna membeli pemanas air yang mendapat kelulusan ST yang dilabel dengan label keselamatan ST-SIRIM.

Selain itu, katanya, Peranti Arus Baki berpekaan 10 mA atau lebih rendah perlu dipasang pada sistem pendawaian yang membekalkan elektrik kepada pemanas air.

Katanya, pengguna perlu memastikan pemanas air dilengkapi dengan Injap Pelega Tekanan (PRV) dan sentiasa memastikan injap itu tidak ditutup atau tersumbat oleh benda asing.

Katanya, PRV juga perlu diperiksa setiap enam bulan bagi memastikannya tidak berkarat atau bocor seterusnya dapat berfungsi dengan sempurna.

"Kita sarankan PRV ditukar sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun serta memastikan pemasangannya dilaksanakan oleh individu yang berkelayakan," katanya.

Dalam kejadian jam 4.15 pagi Selasa lalu, pasangan suami isteri masing-masing berusia 52 dan 51 tahun cedera ringan, manakala anak perempuan berusia 27 tahun tidak cedera apabila bumbung, siling serta sebahagian dinding bilik di tingkat enam itu runtuh.

169 dibaca
Berita Harian X