Jumaat, 13 Oktober 2017 | 8:18pm
KETUA Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub. - Foto Rosli Ilham

Lima jalan ditutup sempena Ekspresi 1Malaysia

DUNGUN: Lima jalan di daerah ini akan ditutup sempena program Ekspresi 1Malaysia yang akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, esok. 

Ketua Polis daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub, berkata tiga daripada lima jalan terbabit akan mula ditutup jam 6 pagi hingga 6 petang. 

Beliau berkata, jalan terbabit ialah Jalan Nibong Stesen (dari simpang kubur Syed Yahaya ke Arena Merdeka); dari persimpangan Muzium Dungun ke Arena Merdeka dan Jalan Mustaffa (bersebelahan padang Arena Merdeka) ke sekitar Pejabat Agama dan Pejabat Daerah.

Katanya, selain itu tiga jalan turut ditutup iaitu jalan Teluk Lipat  (dari lorong kedai nelayan sehingga simpang tiga jalan Teluk Lipat) serta bulatan Masjid Tengku Intan Zaharah ke Pejabat Agama dan Pejabat Daerah. 

"Dianggarkan program ini akan dihadiri lebih 20,000 penduduk dan sudah pasti ia akan menimbulkan kesesakan dan kesukaran.

"Anggota kami yang berkawal di setiap laluan ini akan melencongkan pengguna jalan raya ke beberapa arah jalan alternatif. 

"Anggota yang ditugaskan akan membantu orang ramai dan kita harap orang ramai mematuhi arahan bagi mengelak kesesakan," katanya. 

Ahmad Zailani berkata, bagi pengunjung yang akan ke program terbabit boleh meletakkan kenderaan di lokasi yang disenaraikan. 

"Lokasi terbabit ialah di kawasan Muzium Dungun, sebelah gelanggang tenis Jalan Nibong, tempat letak kereta Pejabat Agama, Jalan Nibong,  Jalan Mahkamah serta Jalan Pantai," katanya.

103 dibaca
Berita Harian X