Jumaat, 13 Oktober 2017 | 6:13pm
MENTERI Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) bergambar bersama penerima skim sewa beli rumah Jauhar Prihatin ketika majlis pelancaran Skim Sewa Beli Hartanah Kerajaan Negeri Johor di Pentas Utama, Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Dataran Mahkota, Kota Iskandar. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Johor lancar Skim Sewa Beli Hartanah Jauhar Prihatin

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor melancarkan satu lagi inisiatif baharu bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman menerusi Skim Sewa Beli Hartanah Kerajaan Johor (Rent-to-Own) di bawah program Jauhar Prihatin.

Program yang akan dilaksanakan oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) itu menawarkan 5,279 unit hartanah dan komersial dengan 409 unit rumah daripadanya akan ditawarkan menerusi fasa pertama.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata skim itu akan menjadi alternatif dan jalan pencerahan kepada pembeli rumah yang tidak mampu mendapat pinjaman perumahan biasa secara komersial.

Katanya, menerusi Jauhar Prihatin, kaedah pembiayaan tertangguh digunakan yang akan menyaksikan bakal pembeli diberi peluang memasuki rumah melalui skim penyewaan hartanah terlebih dahulu selama lima tahun.

"Selepas tamat tempoh lima tahun, peserta Jauhar Prihatin ini akan memasuki pula peringkat kedua, iaitu pembelian rumah.

"Dalam peringkat kedua ini, peserta yang pada awalnya adalah penyewa, akan bertukar menjadi pembeli dan berpeluang memohon pinjaman perumahan seperti biasa daripada institusi kewangan dengan rekod dan merit yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan skim berkenaan di Dataran Mahkota, Kota Iskandar di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Md Jais Sarday dan Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Abdul Razak Mohd Yusoff.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut merasmikan penyerahan kunci Rumah Mampu Milik Johor Taman Sri Danga Apartment serta penyerahan baucar RM1,000 dan menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman TNB Energy Services Sdn Bhd dan KPRJ.

Mohamed Khaled berkata, harga hartanah yang ditawarkan semasa menandatangani perjanjian sewa beli adalah sama dengan harga yang ditetapkan semasa perjanjian jual beli lima tahun kemudiannya.

Katanya, harga berkenaan akan ditolak dengan hasil tabungan bulanan yang dibayar sebagai sebahagian daripada sewa selama tempoh berkenaan.

"Hasil simpanan pembeli ini akan ditukarkan sebagai deposit pembelian sekali gus melepaskan beban untuk mengumpulkan bayaran pendahuluan, yang rata-ratanya menjadi penyebab kegagalan dalam proses pembelian rumah," katanya.

Bagi menjayakan skim sewa itu, Mohamed Khaled berkata, kerajaan Johor memperuntukkan dana berjumlah RM20 juta menerusi bajet tahun lalu dan akan ditingkatkan lagi tahun depan.

576 dibaca
Berita Harian X