Jumaat, 13 Oktober 2017 | 12:37pm
LAPORAN dalam akhbar BH semalam.

Banjir kilat selesai secara NBOS

ALOR SETAR: Masalah banjir kilat yang membelenggu kira-kira 200 penduduk Kampung Peremba, di sini, sejak 10 tahun lalu akan diselesaikan secara bersepadu menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Laporan BH mengenai aduan penduduk yang terjejas mendapat perhatian pejabat Menteri Besar sebelum Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan, Datuk Abdul Mutalib Harun diarah mengambil tindakan segera.

Tinjauan ke kampung itu dilakukan oleh pegawai dan jurutera dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) petang semalam.

Abdul Mutalib berkata, tinjauan itu dilakukan bagi berjumpa penduduk selain mengenal pasti punca berlakunya banjir kilat di kampung terbabit.

"Saya mendengar rintihan penduduk bahawa banjir kilat yang berlaku ini berpunca daripada parit tepi jalan yang terlalu cetek namun, parit ini bukanlah Terusan Wan Mat Saman seperti yang dilaporkan.

"Bagi sampah di Sungai Alor Peremba yang terletak di belakang rumah penduduk pula, kita akan kaji tindakan yang paling berkesan untuk mengatasi masalah itu. Ada penduduk yang mahu perangkap sampah dibina dan cadangan berkenaan akan diperhalusi sekiranya ia sesuai," katanya ketika ditemui semasa tinjauan di kampung itu, semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Mutalib berkata, tindakan yang diambil akan dibincangkan dalam satu mesyuarat khas dengan agensi berkenaan dalam masa terdekat.

Katanya, tindakan susulan selepas mesyuarat itu akan diadakan secara NBOS supaya isu itu dapat diatasi dengan baik.

"Bagaimanpun, masalah ini perlu diatasi dengan kerjasama penduduk serta peniaga di pasar besar berdekatan kampung ini malah MBAS akan siasat dari mana datangnya sampah dalam sungai ini. Sekiranya dari pasar, MBAS akan melakukan penguatkuasaan undang-undang.

"Jika sampah ini daripada penduduk setempat, saya menasihatkan supaya mereka lebih bertanggungjawab selepas ini dan tidak menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sampah," katanya.

Bagi penduduk, Rosliza Abas,45, dia berharap tinjauan agensi terbabit akan membuahkan hasil setelah sekian lama tertekan akibat masalah itu.

Katanya, dia ingin tidur nyenyak semasa hujan dan tidak lagi perlu memikirkan kudrat yang perlu dikerah serta kerugian yang akan ditanggung setiap kali berlakunya banjir kilat.

Sebelum ini, penduduk terpaksa berdepan dengan banjir kilat lebih lima kali setahun yang didakwa berpunca daripada keadaan perparitan yang tidak sempurna.

Air yang melimpah masuk ke rumah penduduk turut mengambil masa yang lama untuk surut berikutan lambakan sampah di dalam sungai Alor Peremba yang terletak di belakang rumah penduduk.

162 dibaca
Berita Harian X