Khamis, 12 Oktober 2017 | 6:45pm
T KAMALA menerima replika kunci rumah dari Datuk A. Sakthiveldi (dua kiri) di bawah Projek Mesra Rakyat TNB di Kampung Ramasamy Dovenby. - Foto Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Sebak sebaik terima kunci rumah

SUNGAI SIPUT: Sambutan Deepavali bakal diraikan minggu depan pasti lebih bermakna buat seorang nenek apabila menerima sebuah rumah baharu yang dibina atas inisiatif Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Projek Mesra Rakyat di Kampung Ramasamy Dovenby di sini.

T Kamala, 65, yang mempunyai tiga anak dan 13 cucu menerima rumah itu bagi menggantikan rumah lamanya yang terbakar di kampung itu.

Beliau sebak tanda gembira ketika dipanggil berucap selepas menerima replika kunci rumah berkenaan yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah TNB, Datuk A Sakthivel.

Katanya, dia sebelum ini terpaksa menumpang di rumah anak-anaknya kerana tidak mempunyai pendapatan tetap selepas rumah peninggalan suaminya terbakar pada Mac lalu, namun lega apabila menerima rumah baru lengkap dengan kemudahan bekalan elektrik dan air.

"Biarpun mungkin tidak sempat menyambut Deepavali di kediaman baharu ini, tapi bagi saya ini hadiah paling bermakna sempena perayaan itu apatah lagi rumah ini terletak di lokasi rumah yang terbakar sebelum ini.

"Saya rasa bertuah dan mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada TNB yang membantu golongan kurang bernasib baik seperti keluarga saya," katanya pada Majlis Penyerahan Rumah PMR TNB peringkat negeri di kampung itu, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) Perak, Bahagian Pembahagian TNB, Raja Datuk Abd Jalil Raja Zaid dan Ketua MIC Bahagian Sungai Siput, M Ilangovan.

Sementara itu, Sakthivel berkata projek berpaksikan tanggungjawab sosial korporat yang mensasarkan bantuan kepada golongan miskin luar bandar, ibu tunggal dan warga emas itu sudah berjaya membantu 96 pemilik kediaman sejak tahun 2012.

"TNB memperuntukkan sekurang-kurangnya dua keluarga masing-masing daripada keluarga berbangsa Cina dan India daripada 12 negeri bagi dibantu dengan peruntukan sebanyak RM30,000.

"Bagaimanapun dalam kes kali ini dan beberapa lagi kes terpencil, TNB menambah peruntukan sehingga kepada RM50,000 bagi membantu keluarga itu kerana rumah mereka bukan dibaik pulih, sebaliknya dibina semula," katanya.

165 dibaca
Berita Harian X