Rabu, 13 September 2017 | 9:24pm
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berucap pada majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Diri Pelajar Tajaan Yayasan Terengganu sempena Program Saintis Islam & Program Berkembar Ke United Kingdom Tahun 2017 di Wisma Darul Iman hari ini. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Terengganu akan hantar sukarelawan ke Bangladesh

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan menghantar sukarelawan ke Bangladesh untuk membantu pelarian Rohingya di sana, selain sudah menubuhkan tabung khas untuk etnik tertindas itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata ketika ini Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri sedang membuat persediaan mengumpul sukarelawan yang berminat untuk dihantar ke Bangladesh.

"Mereka akan dihantar ke sana untuk melakukan kerja khidmat masyarakat bagi membantu pelarian Rohingya di sana.

"Malah, mereka yang berminat untuk menjadi sukarelawan boleh memohon kepada kerajaan negeri melalui Unit Transformasi Terengganu Baharu (TTB) tidak lama lagi.

"Ini adalah tanda simpati dan prihatin kita terhadap nasib mereka. Tabung Khas Rohingya pula akan dilancarkan dalam masa terdekat," katanya selepas Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pelajar Tajaan Yayasan Islam Terengganu Program Saintis Islam dan Program Berkembar ke United Kingdom, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri juga meminta semua masjid di negeri ini mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat, bagi memohon doa supaya etnik Rohingya diberi perlindungan dan bebas daripada penindasan.

133 dibaca
Berita Harian X