Rabu, 13 September 2017 | 1:41pm
ANGGOTA bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, memberi peluang kepada pesakit Leukemia, Mohammad Faisul Iman Isma Yakub, 14, melakukan semburan menggunakan hose-reel, diperkarangan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, di Kota Kinabalu. - Foto Izhari Ariffin
PESAKIT Leukemia, Mohammad Faisul Iman Isma Yakub, 14, mencium pipi ibunya selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, memberi peluang menaiki jentera bomba serta melakukan semburan hose-reel, diperkarangan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, di Kota Kinabalu. - Foto Izhari Ariffin

'Terima kasih abang bomba'

KOTA KINABALU: Impian seorang remaja penghidap leukemia untuk bergelar 'abang bomba' menjadi kenyataan apabila berpeluang memakai seragam dan menaiki jentera pasukan penyelamat itu, semalam.

Muhammad Faisul Iman Isma Yakub, 14, diundang oleh sekumpulan anggota bomba di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Sabah di Likas sebelum mengenakan pakaian seragam bomba dan dibawa menaiki jentera bomba mengelilingi sekitar Likas.

Anak keempat daripada lima beradik berasal dari Kampung Seri Menanti, Kinarut, itu terharu dan tidak menyangka cita-citanya menjadi anggota bomba menjadi kenyataan walaupun cuma sejam.

"Saya sangat gembira apabila diberitahu mengenai perkara ini sejak minggu lalu. Terima kasih abang bomba kerana memakaikan saya pakaian seragam bomba dan membawa menaiki jentera yang selama ini hanya mampu saya lihat di jalan raya dan televisyen.

"Saya mahu menjadi bomba sejak sekolah rendah kerana mahu membantu orang," katanya yang tidak lekang dengan senyuman sepanjang menyarung pakaian seragam bomba.

Impian Muhammad Faisul Iman terlaksana hasil inisiatif Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia (CWSM) dengan kerjasama HWKK dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.

Norah Zulkifli, 47, berkata anaknya itu mula disahkan menghidap kanser darah sejak berusia enam tahun dan selepas mengalami demam berpanjangan, doktor mengesahkan dia menghidap leukimia.

"Sebagai ibu, memang awalnya sangat sedih, namun saya harus kuat agar Muhammad Faisul juga kuat menjalani kehidupannya," katanya sambil memberitahu anaknya itu menerima rawatan di HWKK sejak September tahun lalu.

Sementara itu, Naib Presiden CWSM, Teoh Teik Hoong, berkata persiapan untuk merealisasikan hasrat remaja itu hanya mengambil masa seminggu selepas pihaknya dihubungi oleh HWKK, minggu lalu.

"Kami amat berbesar hati kerana dapat merealisasikan impian remaja ini dan berterima kasih kepada pihak bomba serta HWKK kerana membantu pesakit ini mencapai impiannya," katanya.

Pegawai Bomba Kanan Dua Balai Bomba Lintas, Rozam Shah Rahmat, berkata pihaknya sentiasa berbesar hati untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi mengadakan aktiviti amal seumpama itu.

"Ini adalah salah tanggungjawab sosial korprat (CSR) kami kepada masyarakat. Kita mahu memberi kegembiraan terutama kepada kanak-kanak dan pesakit yang memerlukan perhatian," katanya.

618 dibaca
Berita Harian X