Rabu, 13 September 2017 | 10:36am
PENGARAH Urusan Jualan TBNC Sdn Bhd, CK Wong (dua dari kanan) melakukan 'flag-off' buat 25 peserta kayuhan program amal berbasikal 'My Heart, My Life' anjuran bersama Kelab Berbasikal Institut Jantung Negara Cardiac Cycle (IJNCC) di perkarangan TBNC Motor Sdn Bhd, Jalan Lintas Kolombong, Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

Kayuhan amal sambil periksa kesihatan

KOTA KINABALU: Kira-kira 40 peserta menyertai program amal jelajah berbasikal 'My Heart My Life' anjuran Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) bersama Kelab Berbasikal Institut Jantung Negara (IJNCC) selama enam hari bermula hari ini di sini, pagi tadi.

Program amal jelajah sempena sambutan Hari Malaysia dan Bulan Kesedaran Jantung Sedunia itu bermula di sini, seterusnya ke Sipitang, Keningau, Kundasang dan Kota Marudu sebelum kembali ke Kota Kinabalu, 18 September ini.

Program kayuhan sejauh 625 kilometer itu bukan hanya membabitkan doktor dan warga kerja klinikal dan bukan klinikal IJN, malah turut disertai penduduk kampung di setiap kawasan dilawati.


Azran Ahmad

Fisiologi Kanan IJN yang juga Ketua Kelab Berbasikal IJN, Azran Ahmad, berkata 17 peserta membabitkan warga kerja klinikal dan bukan klinikal IJN memulakan program kayuhan hari ini.

"Kita akan mengelilingi enam daerah di Sabah dan sepanjang persinggahan di setiap daerah itu, kita akan adakan lawatan ke rumah pesakit tajaan Yayasan IJN, selain melakukan pemeriksaan kesihatan dan ujian saringan percuma kepada penduduk setempat.

"Selain warga IJN, kita akan disertai penduduk tempatan dengan anggaran keseluruhan peserta adalah seramai 40 orang. Kita juga akan berehat di Kundasang untuk mengadakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Sabtu ini.

"Pelbagai program secara percuma diadakan termasuk pemeriksaan kolestrol, gula dan jantung serta ceramah kesihatan," katanya kepada media pada majlis pelepasan konvoi yang disempurnakan Pengurus Jualan Mitsubishi Motors Malaysia Sdn Bhd, CK Wong.

Sementara itu, kakitangan IJN yang juga bekas pesakit jantung, Azman Hussin, 43, berkata ia adalah program ketiga disertainya selepas terkena serangan jantung pada 2014.

"Saya dulu tidak jaga makan hingga paras kolesterol tinggi, kesibukan kerja menyebabkan tiada masa untuk bersenam. Bagaimanapun, selepas terkena serangan jantung, saya membuat perubahan dan mula aktif terutama dalam kelab berbasikal.

"Berat saya dulu mencecah 100 kilogram (kg) dan kini turun ke 78kg. Nasihat saya, sama ada kita muda, jangan anggap kita sihat saja kerana serangan jantung boleh kepada sesiapa saja," katanya.

Sementara itu, Mitsubishi Motors Malaysia Sdn Bhd turut menaja dua kenderaan untuk mengangkat barang perubatan sepanjang program itu.

126 dibaca
Berita Harian X