Selasa, 12 September 2017 | 9:52pm
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ab Ghaffar A.Tambi bercakap kepada wartawan ketika sidang media program Bermalam di Muzium 2017 di Muzium Negara. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Hutan lipur Pahang aset eko-pelancongan

TEMERLOH: Semua 26 hutan lipur di Pahang berpotensi besar sebagai tarikan utama eko-pelancongan untuk menarik kunjungan lebih ramai pelancong.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ab Ghaffar A Tambi, berkata keunikan hutan lipur di negeri ini boleh membantu mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai satu daripada destinasi eko-pelancongan terkemuka dunia.

Beliau berkata, produk eko-pelancongan negara termasuk di Pahang sudah mendapat banyak pengiktirafan dan dianugerahkan 'Percutian Eco Terbaik' pada Anugerah Pengembaraan National Geographic, Destinasi Pelancongan Utama Tahun 2016 oleh Majalah Traveler National Geographic.

"Jadi, kita perlu sentiasa memantapkan pembangunan eko-pelancongan ini sejajar dengan prinsip kementerian iaitu memelihara dan memulihara seni budaya dan warisan negara serta melindungi alam sekitar semulajadi.

"Malah, kita juga sudah merangka Pelan Eko Pelancongan Kebangsaan 2016-2020 bagi memastikan ia berdaya saing dan inklusif serta menjadi hala tuju dalam memperkukuhkan pembangunan industri pelancongan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Pemurnian Taman Eko Rimba Negeri Pahang dan perasmian Kampungstay Desa Murni, di sini.

Yang turut hadir  Pengerusi Eko Park Sabah, Datuk Seri, Tengku Dr Zainal Adlin Tengku Mahamood; Pengarah Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Datuk Idros Yahya dan Pengerusi Eco Park Entrepreneur Consortium Malaysia (EPEC ), Datuk Sahariman Hamdan.

92 dibaca
Berita Harian X