Selasa, 12 September 2017 | 3:37pm
PEGAWAI penguat kuasa (Unit Apit) Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Nor Safuan Nordin menunjukkan sijil penghargaan yang diterima di Subang Jaya, hari ini. - Foto Amirudin Sahib

'Kami dah biasa kena maki'

SUBANG JAYA: "Itu bukan kali pertama saya dimaki orang awam... lebih teruk daripada itu pun pernah."

Pegawai penguat kuasa (Unit Apit) Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Nor Safuan Nordin, 31, kelihatan seronok berkongsi pengalaman sepanjang bertugas, termasuk ketenangannya berdepan cacian seorang wanita tersebar luas di media sosial, minggu lalu.

Hampir 10 tahun berkhidmat dengan MPSJ, beliau mengakui kerap berdepan kerenah orang ramai yang berbentuk provokasi dan cacian, namun semuanya diterima dengan sabar.

"Boleh dikatakan hampir setiap hari ada saja yang memaki dan melemparkan kata-kata kesat kepada penguat kuasa seperti kami, malah rakaman yang viral itu bukan kali pertama saya dimaki orang awam.

"Ada pengalaman yang lebih teruk daripada itu sebelum itu, malah dah jadi 'makanan harian' kami.

"Bagaimanapun, kami dilatih untuk bersikap profesional dan tenang apabila menerima provokasi ketika bertugas," katanya.

Beliau bersama beberapa anggota unit sama ditemui pemberita lepas menerima sijil penghargaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Hannah Yeoh, dan Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari Rabu lalu, seorang wanita dirakam memarahi dan mengacukan besi pengunci stereng kereta kepada Nor Safuan berikutan tidak berpuas hati selepas tayar keretanya dikunci.

Tindakan itu diambil selepas wanita terbabit dipercayai meletak kenderaan di tempat tidak dibenarkan di Jalan Puteri, Bandar Puteri Puchong, dekat sini.

Nor Safuan berkata, anggota penguat kuasa dilatih untuk sentiasa bersedia dan bertindak profesional dalam memberi penerangan kepada orang awam berhubung kesalahan dilakukan.

"Kami faham perasaan mereka apabila tayar kenderaan dikapit. Sudah tentu mereka emosi dan berasa tidak puas hati lalu melepaskan kemarahan kepada anggota bertugas dengan memaki.

"Sebagai penguat kuasa, kami hanya menjalankan tugas dan ia akan terus dilakukan secara profesional," katanya.

6754 dibaca
Berita Harian X