Selasa, 15 Ogos 2017 | 4:44pm
Hii Chang Kee

Sibu gelanggang terjun BASE antarabangsa

SIBU: Seramai 104 ahli payung terjun 'BASE jump' akan mempamer kemahiran mereka terjun dari Wisma Sanyan yang setinggi 126 meter pada acara Sibu International BASE Jump yang akan diadakan pada 19 hingga 24 September ini.

Residen Bahagian Sibu, Hii Chang Kee berkata jumlah penerjun itu adalah yang terbesar sejak acara ini dianjurkan sembilan tahun lalu dan mereka datang dari 19 negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, Belgium, Brazil dan Kanada.

"Kami berbangga kerana bangunan ini menjadi tarikan ramai penerjun dari negara luar. Menguruskan peserta yang besar ini akan menjadi satu cabaran terutama di lokasi acara kerana peserta memerlukan tempat untuk melipat kembali payung terjun mereka selain menguruskan giliran untuk mereka terjun dari bangunan.

"Terjunan percubaan akan diadakan pada 20 September (Jumaat) sebelum acara terjunan rasmi yang akan diadakan pada Sabtu dan Ahad. Penerjun akan terjun dari pagi sehingga jam 9 malam," katanya pada sidang media di pejabatnya di Kompleks Islam, di sini, hari ini.

Chang Kee yang juga Pengerusi Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian Sibu (DTTG) berkata, kawasan meletak kereta di hadapan Wisma Sanyan akan ditutup untuk orang awam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

"Anggota keselamatan akan ditempatkan untuk menjaga kawasan tersebut sepanjang acara berlangsung. Saya berharap orang ramai mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh petugas di lokasi acara," katanya

110 dibaca
Berita Harian X