Ahad, 13 Ogos 2017 | 9:05pm
Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Kudat, beri bantuan kecemasan memindahkan pesakit bayi lelaki dilahirkan pramatang dan mengalami jangkitan kuman pada tali pusat serta saluran dalam darah dari Karakit, Pulau Banggi untuk mendapatkan rawatan segera di Hospital Kudat. Bayi tersebut diringi ibu bapanya Norshila Abdul@Abdul, 42 dan Ramli Mujainal, 45. - Foto NSTP/ihsan APMM

APMM bantu pindahkan bayi pramatang

KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat melakukan operasi bantuan kecemasan memindahkan bayi lelaki yang dilahirkan pramatang dari Karakit, Pulau Banggi ke Hospital Kudat, tengah hari semalam.

Bayi berusia dua hari itu yang turut mengalami jangkitan kuman pada tali pusat dan disyaki ada jangkitan kuman dalam saluran darah dipindahkan dari Jeti Karakit dan tiba di Jeti Marina di Kudat pada jam 12.05 tengah hari.

Pengarah APMM Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata bayi itu ditemani ibu, Norshila Abdul @ Abdul, 42, dan bapanya, Ramli Mujainal, 45, untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kudat.

"Bilik operasi daerah menerima panggilan dari Klinik Kesihatan Karakit memaklumkan bayi itu perlu menerima rawatan segera memandangkan bot sedia ada mengalami kerosakan.

"Kita menghantar bot Adal 03 dan tiba di jeti Karakit pada jam 11.20 pagi. Pihak Hospital Kudat dimaklumkan dan menghantar sebuah van ambulans ke jeti bagi memberi bantuan awal kepada bayi berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Zubil berkata, anggota bot Adal 03 turut membantu memindahkan bayi itu dari bot ke ambulans dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil sebelum mendapat rawatan susulan di Hospital Kudat.

127 dibaca
Berita Harian X