Jumaat, 11 Ogos 2017 | 11:20pm

Persiapan kahwin 2 beradik terjejas akibat banjir

MELAKA: Hasrat dua beradik untuk bersanding serentak bersama pasangan masing-masing terjejas akibat kejadian banjir kilat yang melanda rumah mereka di Kampung Sungai Putat, Batu Berendam  di sini, awal pagi tadi.

Hujan lebat berterusan selama empat jam bermula jam 2 pagi itu mengakibatkan persiapan perkahwinan, termasuk khemah, pelamin, kelengkapan bilik tidur pengantin dan barangan masakan ditenggelami air sedalam kira-kira 0.7 meter.

Difahamkan, Nur Syafiqah Hamzah, 21, melangsungkan majlis akad nikah bersama pasangannya, Nor Kamarul Zaman Kasim, 27, malam ini sebelum dijadual akan bersanding serentak bersama abangnya, Muhammmad Al Azim, 26, dan pasangan, Filzah Ghazali, 24, esok.

Nur Syafiqah berkata, dia hanya mampu menangis sebaik melihat rumahnya mula dinaiki air memandangkan khemah, pelamin dan persiapan perkahwinan lain sudah dibuat sehari lebih awal.

"Apabila melihat air mulai naik, barang hantaran serta persiapan memasak untuk majlis kenduri terpaksa dipindahkan dulu. Majlis ini terpaksa diteruskan memandangkan kira-kira 1,500 tetamu sudah dijemput," katanya ketika ditemui.

Bapa Nur Syafiqah, Hamzah Ismail, 57, pula berkata majlis persandingan dua anaknya itu tetap diteruskan bagi memenuhi hajat arwah isterinya, Sabariah Abdul Hamid yang mahu majlis itu dibuat dirumah.

"Terpaksalah kami menyewa khemah baharu, selain majlis persandingan dipindahkan ke rumah jiran yang terletak kira-kira 50 meter daripada lokasi asal. Saya reda dengan ketentuan ini dan mahu majlis (persandingan) tetap berlangsung," katanya dalam nada sebak.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jabatan Pengurusan Banjir Negeri (JPBN) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali, berkata sehingga jam 3 petang semalam, seramai 445 mangsa membabitkan 109 keluarga dipindahkan di tujuh pusat pemindahan banjir di daerah Melaka Tengah dan Jasin.

"Banjir kilat bermula jam 2 hingga 6 pagi ini menjejaskan penduduk di Kampung Batu Hampar; Kampung Pulau Kelapa; Kampung Sungai Putat; Taman Bukit Beruang Bistari; Taman Melawis Bukit Beruang; Kampung Pengkalan Batu, Kampung Bukit Pulau; Kampung Tanjung Minyak dan Sungai Air Hitam.

"Selain itu, Kampung Tampoi; Taman Rambai Utama; Taman Rambai Jaya; Taman Tanjung Minyak Utama, Kampung Bertam Hulu dan Kampung Tehel di Jasin,"katanya.

685 dibaca
BAKAL pengantin, Nur Syafiqah Hamzah, 21, (kanan) bersama Filzah Ghazali, 24, (kiri) menunjukkan tempat persandingan yang ditenggelami air selepas kawasan rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat di Kampung Sungai Putat. - Foto Rasul Azli Samad
BAKAL pengantin, Nur Syafiqah Hamzah, 21, (kanan) bersama Filzah Ghazali, 24, (kiri) menunjukkan tempat persandingan yang ditenggelami air selepas kawasan rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat di Kampung Sungai Putat. - Foto Rasul Azli Samad
Berita Harian X