Jumaat, 11 Ogos 2017 | 6:28pm
ANNUAR bersama penerima bantuan baik pulih rumah di YKK, Peringat, Ketereh hari ini. - Foto oleh Nor Amalina Alias

RM2j untuk 400 keluarga baiki rumah

KOTA BHARU: Seramai 400 keluarga dalam kawasan Parlimen Ketereh masing-masing akan menerima dana RM5,000 untuk membaiki rumah membabitkan peruntukan keseluruhan RM2 juta.

Ahli Parlimen, Tan Sri Annuar Musa, berkata daripada jumlah berkenaan, peruntukan baik pulih rumah sebanyak RM1.6 juta, manakala baki RM400,00 adalah kos gotong-royong.

Katanya, kerja-kerja baik pulih rumah penduduk berkenaan akan dilakukan dalam masa terdekat.

"Sekarang musim hujan, ada rumah yang bumbungnya bocor, lantai rosak.

"Bantuan ini di bawah peruntukkan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya rumah mereka dapat dibaiki segera," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan kepada 400 penerima di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di Peringat, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pemuda Bahagian Ketereh, Mohd Azam Ismail.

Sementara itu, seorang penerima, Mohamad Yaacob, 63, bersyukur dengan bantuan yang diterima kerana bumbung rumahnya sudah lama bocor.

Katanya, setiap kali hujan, rumah yang didiami bersama isteri, Ramlah Hussin, 62, dan anak yang sakit, Abu Bakri Mohamad, 33, bocor teruk terutama di bahagian tengah rumah.

"Syukur, Alhamdulillah dengan bantuan ini kami dapat membaik pulih rumah yang semakin uzur," katanya.

Berita Harian X