Jumaat, 11 Ogos 2017 | 5:19pm

AADK cekup 194 penagih

TASEK GELUGOR: Seramai 194 individu ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang dalam serbuan Ops Perdana yang dilancarkan sejak semalam, bagi menggempur sarang penagih dadah.

Pengarah AADK negeri, Mohd Azlan Mohd Nor, berkata antara lokasi tumpuan kali ini adalah kawasan sekitar Kuala Muda, Bukit Mertajam, Jelutong dan Batu Maung.

"Operasi selama dua hari yang dilalukan berjaya melumpuhkan kegiatan penagihan dadah di kawasan berkenaan apabila kita menahan seramai 194 penagih berusia antara 16 hingga 63 tahun.

"Selain itu, kita juga merampas beberapa dadah jenis morfin seberat 64 gram (g) dan metamphetamine (11.36g) selain wang tunai RM400 serta peralatan menghisap dadah," katanya pada sidang media di Pusat Tahanan Reman (PTR) di sini, hari ini.

Mohd Azlan berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap semua tahanan mendapati 118 individu positif dadah.

Jelasnya, daripada jumlah itu, seramai 87 individu kini ditahan reman antara 11 hingga 14 hari bagi membantu siasatan, manakala 31 lagi dibebaskan dengan jaminan.

Berita Harian X