Jumaat, 11 Ogos 2017 | 11:21am
PENDUDUK membersihkan rumah selepas banjir yang melanda 19 kampung di daerah Baling, malam tadi.- Foto Safuri Kamarudin

Banjir kilat jejaskan 121 rumah di Baling

BALING: Hujan lebat selama lebih lima jam sejak petang semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 19 kawasan di sekitar daerah ini dilanda banjir kilat, malam tadi.

Hujan lebat berterusan menyebabkan air Sungai Ketil naik mendadak dan melimpah, dengan 121 rumah dilapor terjejas selepas dinaiki air sehingga paras satu meter.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Baling, Shamsul Izrin Isahak, berkata lokasi paling teruk terjejas ialah Kampung Cenerai apabila 21 kediaman dilapor dinaiki banjir, selain Lubuk Pedati dengan 15 kediaman serta Tanah Periuk dan Telok Durian, masing-masing sembilan dan lapan kediaman.

Kampung lain yang turut terjejas termasuk Sera Bawah, Binjul Dalam, Charok Sikin, Banggol Lada, Banggol Saga, Bongor Sekolah, Bendang Sera, Ketemba Masjid, Charok Kapas, Banggol Lahar, Gua Reban, Tanjung dan Tok Diah Ulu.

"Air naik dengan cepat kerana hujan berterusan selama lima jam tanpa henti... inilah banjir paling teruk dialami sepanjang tahun ini.

"Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan dibuka kerana semua mangsa berpindah ke tempat selamat," katanya.

235 dibaca
Berita Harian X