Isnin, 17 Julai 2017 | 2:34pm
SEBUAH kereta PERODUA Viva terperosok dalam sebuah lubang yang terbentuk selepas paip bawah tanah pecah di Persimpangan Bunga Cengkih dari Bukit Istana.

Viva 'berkubang' dalam lubang

KUANTAN: Sebuah kereta PERODUA Viva terperosok dalam sebuah lubang yang terbentuk selepas paip bawah tanah pecah di Persimpangan Bunga Cengkih dari Bukit Istana, di sini, pagi tadi.

Bagaimanapun, pemandu tidak dikenali identitinya itu terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum kenderaan miliknya ditarik trak penunda yang mengambil masa hampir setengah jam.

Kejadian pada jam 8 pagi itu turut mengakibatkan jalan raya di kawasan berkenaan dipenuhi air menyebabkannya ia tidak boleh dilalui.

Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Nurul Farhana Abdul Hamid berkata, kejadian itu selepas paip sepanjang 375 milimiter (MM) pecah sekali gus mengakibatkan permukaan jalan menjadi retak seterusnya runtuh.

"Kejadian itu menyebabkan kira-kira 1,200 pemilik akaun yang tinggal di kawasan Bukit Kuantan, Bukit Goh, Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Bukit Goh, Tanjung Pasir dan kawasan sekitar mengalami gangguan bekalan air," katanya.

Beliau berkata, kerja membaik pulih sedang giat dijalankan yang dijangka selesai pada jam 12 tengah malam ini.

2259 dibaca
Berita Harian X