Isnin, 17 Julai 2017 | 12:17pm
PENGERUSI Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA negeri, Datuk Abu Bakar Harun.

Perbadanan khas pantau pembangunan Tasik Chini

PEKAN: Kerajaan Pahang akan mewujudkan perbadanan khas bagi menyelia dan memantau perkembangan Draf Rancangan Kawasan Khas Tasik Chini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA negeri, Datuk Abu Bakar Harun, berkata cadangan penubuhan itu akan dibincangkan dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan EXCO Kerajaan negeri dalam masa terdekat.

"Kita sudah ada draf bagi membangunkan kawasan ini (Tasik Chini) dan saya rasa ada keperluan untuk kita mewujudkan perbadanan khas bagi memudahkan penyelarasan setiap projek yang dirancang.

"Melalui perbadanan ini kelak, kita boleh tengok (pantau) dengan teliti proses pembangunan di kawasan atau zon tinggi, zon hutan lipur serta zon tanah rendah dilaksanakan dengan lestari tanpa mengganggu ekosistem sedia ada," katanya.

Beliau memberitahu media berkenaan selepas merasmikan majlis Publisiti Draf Rancangan Khas Tasik Chini di Dewan Kelab Golf Diraja Pekan, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Pekan, Rose Shamsul Abd Razak dan Pengarah PLANMalaysia Pahang, Datuk Hazizah Sulaiman.

Abu Bakar berkata, kajian draf itu dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Ekonomi Negeri Pahang dan syarikat perunding swasta yang dilantik mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, membabitkan kawasan seluas kira-kira 1,500 hektar (6,000 ekar).

Katanya, lima teras utama dijadikan panduan bagi memastikan draf itu berjaya dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

"Terdapat lima tumpuan (teras) diberikan perhatian dalam draf ini iaitu menjadikan Tasik Chini sebagai destinasi biosfera bertaraf dunia serta menjadikan Tasik Chini sebagai koridor hijau dan biru.

"Selain itu, kita juga mahu menjadikan Tasik Chini sebagai pemangkin pembangunan ekonomi setempat serta peningkatan akses ke Tasik Chini," katanya.

328 dibaca
Berita Harian X