Ahad, 16 Julai 2017 | 3:39pm

Jambatan rentasi Sungai Batang Lassa akan dibina


DATUK Amar Abang Johari Abang Openg bersama pemimpin tempatan pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Daro, hari ini.

DARO : Kerajaan Negeri bersetuju untuk membina jambatan menyeberangi Sungai Batang Lassa bagi menghubungkan kawasan Pulau Bruit dan Semop dengan kawasan Matu-Daro.

Ketika mengumumkan khabar gembira buat penduduk daerah Daro pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri di sini hari ini, Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg berkata, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan di bawah Unit Perancangan Negeri untuk mengkaji projek pembinaan jambatan berkenaan.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan bertanggungjawab untuk menjalankan kajian bagi menilai lokasi pembinaan yang sesuai serta kos pembinaan.

"Pembinaan jambatan itu memerlukan perbelanjaan yang besar, tetapi kerajaan negeri amat mementingkan pembangunan luar bandar kerana pelaksanaan projek itu nanti akan membantu melonjakkan pembangunan ekonomi di kawasan pesisir.

"Saya menjangkakan jambatan ini akan menjadi jambatan sungai kedua terpanjang di Sarawak selepas Jambatan Batang Lupar yang sepanjang lebih lima kilometer manakala jambatan Batang Lassa itu nanti dianggarkan sepanjang kira-kira 2.5 hingga 3 kilometer." Katanya.

Katanya lagi, kerajaan negeri sanggup mengeluarkan pelaburan tinggi untuk memberi keselesaan kepada rakyat selain yakin pembinaan jambatan itu akan turut membuka tanah di kawasan itu untuk pertanian mampan.

Kini, perjalanan dari Sibu ke Daro mengambil masa kira-kira tiga jam dan perlu menggunakan dua feri iaitu feri di Batang Paloh dan Batang Lassa.

Sementara itu, dalam ucapannya, Abang Johari turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk membina sebuah masjid baharu di Daro.

Turut hadir pada majlis itu, Ahli Parlimen Igan, Datuk Abdul Wahab Dollah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad; ADUN Semop, Abdullah Saidol dan ADUN Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya.

473 dibaca
Berita Harian X