Ahad, 16 Julai 2017 | 3:16pm

Jalan kampung di Johor dinaik taraf


MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyempurnakan Majlis Perasmian KKMJB Cabutan Undi Projek Jalan Kampung PJK 5 (Fasa 2) di Taman Universiti, Johor Bahru, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Hasni Mohammad. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Sebanyak 50 projek menaik taraf jalan kampung di Johor bernilai RM7.7 juta diagihkan kepada kontraktor berdaftar di Koperasi Kontraktor Melayu Johor menerusi proses cabutan undi fasa dua hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Hasni Mohammad, berkata proses pengundian itu memberi peluang kepada lebih 1,500 ahli koperasi kontraktor terbabit dalam projek menaik taraf jalan kampung di negeri ini.

Katanya, cabutan undi membabitkan 50 projek menaik taraf jalan kampung itu bertujuan memberi lebih peluang, selain pengagihan kerja telus kepada kontraktor berdaftar.

"Selain pengagihan secara undi, kerajaan negeri mengambil langkah menerusi Pusat Pembangunan Kontraktor Johor (JCCD) yang mana kerajaan negeri memutuskan sebanyak 0.5 peratus akan diperuntukkan untuk pembangunan infrastruktur.

"Justeru, kalau kerajaan negeri membelanjakan RM200 juta untuk kerja infrastruktur, 0.5 peratus jadi RM1 juta akan diagihkan kepada JCCD.

"Ia memberi pendedahan untuk membantu kontraktor menerusi hebahan terhadap projek ditawarkan kerajaan, selain mengenal pasti kontraktor yang berpotensi untuk dibangunkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian KKMJB Cabutan Undi Projek Jalan Kampung PJK 5 (Fasa 2) yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Taman Universiti di sini, hari ini.

Hasni berkata, kerja pembinaan dijadualkan bermula minggu ini dan dijangka siap sepenuhnya sebelum akhir tahun.

Sebelum ini, katanya, projek kerajaan lebih tertumpu kepada penyertaan daripada syarikat konsesi yang akan menjalankan kerja secara sebut harga, tender terbuka atau menerusi persatuan kontraktor.

"Kali ini kerajaan negeri buat kerjasama secara terus dengan koperasi, selain menggalakkan lebih banyak kerjasama antara kontraktor koperasi dan kerajaan untuk tahun akan datang," katanya.

88 dibaca
Berita Harian X